Bekas Ahli Parlimen Belia Malaysia, Muhammad Nazmi Hakimi Mohd Eirman.

KUALA LUMPUR – Tindakan tegas Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dalam menangani kes buli di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) wajar diteladani dalam menangani isu-isu berbangkit serta membimbangkan ketika ini.

Bekas Ahli Parlimen Belia Malaysia, Muhammad Nazmi Hakimi Mohd Eirman berkata, keberanian Dr Asyraf melaksanakan prinsip ‘You touch, you go’ menunjukkan ketegasan beliau dalam mempertahankan disiplin serta nilai moral pelajar tanpa berkompromi dengan salah laku.

“Buli bukan salah laku kecil. Ia penyakit moral yang merosakkan nilai generasi muda dan mencemarkan maruah institusi pendidikan,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Menurutnya, langkah pantas yang diambil membuktikan kepimpinan berasaskan tindakan nyata jauh lebih berkesan daripada sekadar kenyataan panjang lebar yang tidak disusuli tindakan.

“Ketika ada yang lebih gemar menubuhkan jawatankuasa atau mengeluarkan kenyataan, beliau memilih untuk bertindak segera. Tindakan ini mengembalikan keyakinan masyarakat bahawa masih ada pemimpin berani yang tidak bersembunyi di sebalik prosedur,” ujarnya.

Nazmi turut menyambut baik langkah melantik bekas anggota tentera dan polis sebagai warden asrama sepenuh masa, yang dilihat sebagai pendekatan reformasi pantas untuk mengekang masalah disiplin di MRSM.

Beliau bagaimanapun berpendapat, pendekatan Kementerian Pendidikan (KPM) dalam isu disiplin pelajar masih dilihat perlahan dan terlalu berhati-hati.

“Kenyataan dan seminar tidak akan menamatkan budaya buli tanpa tindakan tegas. Pemasangan CCTV dan program karakter hanya akan berkesan jika disokong dengan kepimpinan yang berani membuat keputusan,” jelasnya.

Nazmi berkata, pendidikan tanpa disiplin melahirkan pelajar yang hilang pedoman, manakala ketegasan tanpa kasih sayang pula hanya menimbulkan ketakutan.

Oleh itu, katanya, negara perlu menyeimbangkan antara tindakan tegas dan pendekatan berhemah bagi membentuk pelajar berakhlak tinggi.

Beliau turut menegaskan bahawa isu buli dan rogol tidak boleh disamakan kerana kedua-duanya berbeza dari sudut moral dan undang-undang.

“Buli ialah salah laku yang perlu ditangani melalui disiplin dan pendidikan, manakala rogol adalah jenayah berat yang mesti dibawa ke muka pengadilan tanpa kompromi,” katanya.

Tambahnya, ketegasan terhadap pembuli penting, namun ketegasan terhadap pelaku jenayah seksual adalah tanggungjawab negara dan tanda kepimpinan yang bermaruah. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast