Menteri Pengangkutan, Anthony Loke bercakap pada sidang media berkenaan Majlis Perhimpunan Setia Khas dan Ikrar Bebas Rasuah JPJ di Kementerian Pengangkutan Malaysia, Putrajaya. Foto AIZAT ZAINAL, 14 OKTOBER 2025.

PUTRAJAYA – Bermula malam ini hingga 31 Disember 2025, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) melaksanakan operasi bersepadu bagi mengekang sikap sambil lewa dan ketidakpatuhan dalam kalangan pengusaha serta pemandu kenderaan perdagangan yang membawa lebih muatan dan melanggar undang-undang jalan raya.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, operasi yang dianggapnya sebagai ‘perang lebih muatan kenderaan perdagangan’ akan menumpukan kawasan-kawasan panas yag berisiko.

Muatan berisiko tinggi termasuk batu, pasir, tanah, silika, arang batu, besi, sawit dan kayu balak yang kebanyakannya terlibat dalam aktiviti kuari, pelabuhan dan sektor perindustrian,

Bercakap pada sidang media selepas Majlis Perhimpunan Setia Khas Ikrar Bebas Rasuah JPJ di Kementerian Pengangkutan, hari ini, Loke berkata  operasi tersebut akan dilaksanakan meliputi lima zon utama iaitu utara, tengah, selatan, timur dan Borneo.

“Setiap negeri akan menggerakkan empat pasukan penguatkuasa mejadikan keseluruhannya 12 pasukan aktif di setiap zon dengan tempoh tujuh hari berturut-turut bagi setiap siri beropeasi,” jelasnya.

Tegasnya, tiada kompromi akan diberikan kepada mana-mana pihak yang melanggar had muatan yang ditetapkan kepada pihak yang melanggar had muatan seperti ketetapan undang-undang.

“JPJ tidak akan bertolak ansur terhadap mana-mana pemandu, pemilik atau syarikat pengangkutan yang cuak serta mengabaikan keselamatan awam hingga mengakibatkan kerosakan jalan raya atau kemalangan,” tambahnya.

Dalam pada itu, Anthony memaklumkan telah mengarahkan dan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) untuk melaksanakan kerangka pentadbiran baharu bagi memperkukuh tindakan penguatkuasaan terhadap syarikat pengendali berisiko tinggi.

Jelas beliau, melalui kerangka berkenaan, pesalah berulang bukan sahaja akan dikenakan saman oleh JPJ, tetapi permit kenderaan atau lesen pengendali syarikat turut boleh digantung atau dibatalkan oleh APAD.

“Melalui kerangka itu nanti, kesalahan pertama lebih muatan akan disaman, kalau buat lagi untuk kali kedua permit, kenderaan tersebut dibatalkan atau. Kalau buat lagi kali ketiga, lesen pengendali keseluruhan syarikat dibatalkan.

“Kita (MOT) nak bagi penegasan kepada syarikat pengendali jangan ingat mereka boleh bayar saman sahaja. 

“Tidak ada lagi kompromi, saya tidak boleh bersabar lagi banyak kemalangan melibatkan kenderaan berat yang lebih muatan,” tambahnya.

Sementara itu, Anthony berkata, sebanyak 100 unit Alat Perakam Badan  (BWC) akan digunakan oleh pegawai penguatkuasa JPJ, bermula November dengan peruntukan RM2.3 juta.

Katanya, Inisiatif tersebut merupakan langkah strategik MOT dan JPJ dalam memperkukuh keberkesanan penguatkuasaan serta meningkatkan integriti dan ketelusan perkhidmatan awam.

“Penggunaan BWC menandakan komitmen JPJ untuk melaksanakan penguatkuasaan berasaskan bukti (evidence-based enforcement) dan memastikan setiap tindakan di lapangan dapat dirakam, dinilai dan dipantau secara objektif,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast