PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bekerjasama dalam menghadapi ancaman siber dengan berkongsi kepakaran.
Pengarah Bahagian Forensik Teknologi (BFT) SPRM, Wan Zulkifli Wan Jusoh berkata, kerjasama strategik itu penting untuk memastikan perlindungan bukan hanya aset fizikal tetapi kedaulatan data dan maklumat negara.
“Dengan integrasi kepakaran forensik digital SPRM dan operasi TLDM, negara dilengkapi dengan kemampuan pertahanan siber dan holistik serta berdaya tahan bagi menghadapi cabaran abad ke -21,” katanya.
Beliau menyatakan demikian menerusi kenyataan sempena lawatan ke Markas Angkatan Kapal Selam (MAKS) di Sepanggar, Sabah baru-baru ini.
Menurut Wan Zulkifli, terdapat tiga fokus utama kerjasama antara SPRM dan TDLM iaitu melibatkan pencegahan ancaman dalaman, tindak balas insiden siber serta pemulihan data pasca-insiden.

Sementara itu, ketibaan rombongan SPRM disambut Ketua Staff MAKS TLDM, Kapten Mohd Rahman.
Lawatan tersebut membabitkan tinjauan ke kapal selam, KD Tunku Abdul Rahman dan KD Tun Razak pendedahan langsung tentang sistem digital kapal selam. – MalaysiaGazette















