. Berbelanja mengikut emosi hanya memberi kepuasan sementara yang akhirnya boleh menjejaskan kewangan dan kesejahteraan mental.

KUALA LUMPUR – Cadangan Ketua Pembangkang agar bantuan sebanyak RM500 akan diberikan kepada isi rumah yang memerlukan jika Perikatan Nasional (PN) menjadi kerajaan adalah satu tarikan popular tetapi merbahaya.

Ini kerana menurut Pengurus Penyelidikan Nusantara Academy for Strategic Research, Putri Noradyani Megat Hashim, tanpa pelan kewangan jangka panjang cadangan tersebut berisiko membebankan fiskal negara dan menjejaskan keupayaan kerajaan membina dasar kewangan yang mampan.

Jelas beliau, dari sudut logistik, anggaran kos pelaksanaan cadangan itu sangat bergantung kepada skop penerima.

Jika bantuan itu disasarkan kepada tujuh juta isi rumah daripada golongan B40 dan sebahagian M40, kosnya mencecah sekitar RM42 bilion setahun.

Sekiranya ia diberikan kepada 20 juta individu dewasa pula, jumlahnya melonjak kepada RM120 bilion setahun.

Malah jika skop dikurangkan kepada hanya tiga atau empat juta isi rumah, jumlah perbelanjaan yang perlu ditanggung kerajaan masih besar iaitu antara RM18 bilion hingga RM24 bilion setahun.

“Untuk merealisasikan jumlah sebesar ini, kerajaan perlu mencari ruang fiskal baru, sama ada melalui peningkatan belanjawan yang mana buat masa ini sumber pendapatan baru masih belum wujud.

“Cadangan tersebut mungkin juga terpaksa melibatkan pemotongan subsidi sedia ada, atau melalui pinjaman tambahan. Namun, pinjaman berterusan pula boleh menambah beban hutang negara, serta meningkatkan kos bayaran faedah tahunan, yang kini sudah pun mencecah sekitar RM45 bilion setahun,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Putri Noradyani, bantuan tunai yang terlalu banyak juga boleh memberi implikasi negatif yang signifikan.

Pertama katanya, kemasukan wang besar secara tiba-tiba ke dalam ekonomi boleh mendorong tekanan inflasi terutama jika bekalan barang dan perkhidmatan tidak meningkat seiring dengan permintaan.

ARTIKEL BERKAITAN

https://malaysiagazette.com/2025/10/13/pn-akan-ganti-sara-dengan-bpn-beri-rm500-sebulan-hamzah/

Kedua, jika bantuan itu bersifat universal tanpa penapisan, golongan berpendapatan tinggi juga akan menerima bantuan, menjadikan agihan kurang efisien.

Tambahan pula, terdapat kebimbangan bahawa bantuan besar tanpa syarat mungkin akan mengurangkan insentif untuk bekerja, khususnya bagi individu yang sudah bergelut dengan ketidaktentuan pasaran buruh.

“Akhirnya, dalam membincangkan apa-apa bentuk bantuan kepada rakyat, pertimbangan ekonomi dan kebajikan sosial mesti diseimbangkan.

“Sebaliknya, pendekatan seperti bantuan bersasar, subsidi terarah, dan rasionalisasi perbelanjaan menawarkan penyelesaian yang lebih praktikal.

“Ia bukan sahaja membantu rakyat yang benar-benar memerlukan, malah menjaga kedudukan kewangan negara untuk generasi akan datang,” katanya lagi.

Pada 13 Oktober lalu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, Perikatan Nasional (PN) akan memperkenalkan Bantuan Prihatin Nasional (BPN) sehingga RM6,000 setahun atau RM500 kepada isu rumah yang memerlukan jika ia menjadi kerajaan.

Katanya, PN yakin dapat meningkatkan bantuan tunai kepada rakyat berdasarkan kedudukan fiskal negara yang disifatkan mempunyai kekuatan.

Menurut beliau, berbeza dengan bantuan yang bersyarat dan terhad seperti skim Sumbangan Asas Rahmah (SARA) yang mengekang pilihan rakyat.

“PN akan beri bantuan dan kita serahkan kepada rakyat untuk membeli apa yang mereka mahukan dan perlukan,” katanya ketika membahaskan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast