[GAMBAR FAIL] Penerima Bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) mengambil peluang untuk berbelanja selepas ianya mula disalurkan bermula hari ini, di sebuah pusat membeli belah di Subang Jaya, Selangor. Foto SADIQ SANI, 31 OGOS 2025

KUALA LUMPUR – Perikatan Nasional (PN) akan memperkenalkan Bantuan Prihatin Nasional (BPN) sekiranya menjadi kerajaan yang akan memberi bantuan tunai sehingga RM6,000 setahun atau RM500 sebulan kepada isi rumah yang memerlukan.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, PN yakin dapat meningkatkan bantuan tunai kepada rakyat itu berdasarkan kedudukan fiskal negara yang disifatkan mempunyai kekuatan.

Menurut beliau, berbeza dengan bantuan yang bersyarat dan terhad seperti skim Sumbangan Asas Rahmah (SARA) yang mengekang pilihan rakyat.

“PN akan beri bantuan dan kita serahkan kepada rakyat untuk membeli apa yang mereka mahukan dan perlukan,” katanya ketika membahaskan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat, hari ini.

Ketua Pembangkang yang juga Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin pada Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Parlimen Ke-15 di bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto JABATAN PENERANGAN MALAYSIA, 13 OKTOBER 2025.

Tambah Hamzah (PN-Larut), inisiatif BPN bagi menggantikan SARA itu bukan hanya bertujuan menyalakan ekonomi negara, tetapi mahu membina semula rasa percaya antara rakyat dan negara berlandaskan jaringan keselamatan sosial yang adil, prihatian dan bermaruah.

Disebabkan itu, tambah beliau, PN akan merombak semula seluruh kerangka jaringan sosial negara agar setiap bantuan dan setiap sen yang dibelanjakan membawa makna keadilan yang sebenar.

Sementara itu, ketika bangun mencelah, Datuk Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) membangkitkan berkenaan rungutan peniaga kedai runcit yang mendakwa tidak mendapat manfaat daripada pemberian SARA.

Ini kerana, kata Rosol, bantuan tunai yang diberikan hanya boleh dibelanjakan di pasar-pasar raya yang disifatkan sebagai golongan peniaga ‘maha kaya’.

Menjawab perkara itu, Hamzah berkata, PN menerusi dasar BPN akan memastikan penerima bantuan tersebut kelak diberikan kebebasan sepenuhnya untuk membeli barangan keperluan diperlukan tanpa sebarang sekatan.

Bagaimanapun, Suhaizan Kaiat (PH-Pulai) kemudian bangkit mencelah dan mempersoalkan jawapan Hamzah bagaimana sekiranya bantuan itu digunakan untuk membeli rokok.

Sebagai maklum balas, Hamzah hanya berkata, persoalan yang dibangkitkan Suhaizan itu seolah-olah menunjukkan rakyat langsung tidak tahu untuk membuat pertimbangan dalam menggunakan bantuan tunai yang diterima.

Bermula 31 Ogos lalu, seramai 22 juta Malaysia berusia 18 tahun ke atas menerima sumbangan SARA secara one-off berjumlah RM100 yang dikreditkan menerusi MyKad masing-masing.

Bantuan itu boleh digunakan untuk membeli barangan keperluan asas berdasarkan 14 kategori produk terpilih di lebih 4,100 premis seluruh negara termasuk pasar raya seperti Mydin, Lotus’s, Econsave, 99 Speedmart serta kedai runcit di semua daerah.

Menerusi Belanjawan 2026 juga, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bantuan SARA sebanyak RM100 itu akan diberikan sekali lagi pada Februari tahun depan untuk persiapan Ramadan dan sambutan Tahun Baharu Cina. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

Comments are closed.