Naib Presiden MIC, Datuk M Asojan

KUALA LUMPUR – Naib Presiden MIC, Datuk M Asojan menyuarakan kebimbangan terhadap peningkatan kes jenayah dan keruntuhan moral dalam kalangan pelajar sekolah termasuk insiden pembunuhan seorang pelajar perempuan di Selangor semalam.

Asojan yang pernah berkhidmat sebagai guru disiplin selama hampir 10 tahun berkata, tragedi demi tragedi berlaku menunjukkan nilai kemanusiaan dan kawalan disiplin di sekolah semakin longgar.

“Hari ini dua nyawa sudah hilang. Seorang pelajar meninggal dunia, seorang lagi akan berdepan hukuman di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Bila keadaan seperti ini akan berakhir?” soalnya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Beliau menegaskan, peranan guru disiplin dan pengawas sekolah perlu diperkasa semula bukan sekadar simbolik tetapi diberi kuasa dan sokongan jelas untuk bertindak terhadap tingkah laku pelajar yang mencurigakan.

“Guru disiplin bukan hanya menghukum tetapi menjaga keselamatan dan nilai pelajar. Mereka mesti dibenarkan mengambil tindakan sewajarnya dan berhubung terus dengan pihak polis sekolah jika ada perkara yang tidak boleh dikawal,” ujarnya.

Asojan turut mempersoalkan mengapa tiada rakan pelajar yang menegur atau menghalang tindakan suspek sebelum tragedi itu berlaku menunjukkan kegagalan membina hubungan sihat antara pelajar dan sistem pengawasan dalaman sekolah.

Menurut beliau, sewaktu menjadi guru dahulu, tindakan tegas dan hubungan erat antara guru serta pelajar menjadi benteng utama mencegah salah laku.

“Dulu pelajar hormat guru disiplin. Mereka tahu ada batas dan takut melanggar peraturan. Hari ini, budaya hormat itu makin pudar,” katanya.

Asojan juga mencadangkan Kementerian Pendidikan (KPM) supaya memperuntukkan lebih banyak dana bagi pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi strategik sekolah sebagai langkah pencegahan.

“Saya tahu Kementerian telah mendapat peruntukan RM66 bilion untuk tahun depan, jadi saya mohon sebahagiannya digunakan untuk memasang CCTV di kawasan kritikal bukan sahaja di pintu masuk tetapi juga di bahagian atas bangunan dan kawasan tersembunyi,” ujarnya.

Katanya, sistem pemantauan berteknologi seperti itu bukan untuk menghukum tetapi melindungi keselamatan pelajar dan mengelak tragedi berulang.

Asojan berharap pihak sekolah dan masyarakat tidak terus menuding jari semata-mata sebaliknya memperkukuh kerjasama antara guru, pelajar dan ibu bapa demi memulihkan semula disiplin serta nilai moral generasi muda. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast