JERUSALEM – Israel membenarkan lintasan utama Rafah di Gaza dibuka semula pada Rabu bagi membolehkan bantuan kemanusiaan disalurkan ke wilayah Palestin itu selepas Hamas menyerahkan empat lagi mayat tebusan, lewat malam semalam.
“Enam ratus buah trak yang membawa bantuan kemanusiaan akan dihantar (pada Rabu) ke Semenanjung Gaza oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), organisasi antarabangsa yang diluluskan, sektor swasta dan negara penderma,” lapor penyiar awam Israel, KAN, di laman webnya tanpa menyatakan sumber.
Menurut laporan tersebut, tentera Israel memaklumkan bahawa mayat tebusan itu telah dikembalikan sehari selepas Hamas menyerahkan empat lagi mayat tahanan dan membebaskan baki 20 tebusan yang masih hidup.
Dalam pada itu, Hamas didakwa telah melancarkan operasi dan menghukum individu-individu yang menjadi tali barut Israel.
Dalam satu video di saluran rasminya, Hamas menunjukkan hukuman mati dijalankan terhadap lapan suspek yang ditutup mata dan berlutut, dengan label “pengkhianat dan penjenayah”.
Video yang dipercayai dirakam pada petang Isnin itu muncul ketika pelbagai keselamatan Hamas bertempur dengan puak-puak bersenjata Palestin pada hari kelima gencatan senjata antara kumpulan tersebut dan Israel dilaksanakan. -AGENSI
















