Gambar hiasan.

PETALING JAYA – Pelajar lelaki berusia 14 tahun yang disyaki menikam seorang pelajar perempuan hingga mati di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama semalam, telah direman bagi membantu siasatan.

Namun, segala perkembangan terkini kes berkenaan termasuk permohonan reman akan dimaklumkan oleh Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar, dalam sidang media khas yang dijadualkan berlangsung pada jam 11.30 pagi ini di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor.

Terdahulu, suspek dibawa ke Kompleks Mahkamah Petaling Jaya sekitar jam 9 pagi bagi permohonan reman.

Bagaimanapun, pihak media tidak berpeluang untuk merakam kelibatnya kerana dia dibawa masuk menerusi laluan rahsia menuju ke lokap sementara.

Kes yang menggemparkan negara itu menarik perhatian pengamal media yang siap sedia menunggu di perkarangan mahkamah seawal jam 7 pagi.

Media semalam melaporkan, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail mengesahkan seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun ditikam hingga mati oleh rakan sekolah lelakinya di sekolah berkenaan.

Siasatan awal mendapati mangsa mengalami beberapa kesan tikaman pada bahagian badan. Suspek kini ditempatkan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN

Pelajar sekolah maut ditikam menjerit minta tolong

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast