Mohd Noor didakwa di Mahkamah Butterworth atas 12 pertuduhan membabitkan salah guna wang RM405,121 milik sebuah syarikat.

BUTTERWORTH – Seorang pesara tentera mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah di sini hari ini, atas 12 pertuduhan membabitkan penyalahgunaan wang milik sebuah syarikat berjumlah RM405,121.

Tertuduh, Mohd Noor Yacub, 67, membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Zulhazmi Abdullah.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa secara tidak jujur menyalahgunakan harta iaitu wang sejumlah RM405,121 milik Amar Iman Development Sdn. Bhd. dengan cara memasukkan 12 cek ke dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu antara 19 Januari hingga 21 Oktober 2015 di Maybank Islamic Berhad Cawangan Plaza MWE di Lebuh Farquhar, dalam Daerah Timur Laut.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang enam bulan dan tidak melebihi lima tahun, sebat dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Ketika prosiding, Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Noor Azura Zulkiflee menawarkan jaminan sebanyak RM60,000 bagi kesemua pertuduhan.

Bagaimanapun, peguam tertuduh, Mohamad Amirrul Adli, dalam rayuannya memohon jumlah jaminan minimum dengan alasan anak guamnya tidak mempunyai pendapatan tetap, masih mempunyai tanggungan isteri dan bergantung kepada bantuan kewangan anak-anak.

“Tertuduh juga menghidap kencing manis selain baru selesai menjalani pembedahan mata dan perlu menerima rawatan susulan di hospital,” katanya.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin keseluruhan RM50,000 dengan seorang penjamin, serta syarat tambahan iaitu perlu melapor diri di SPRM terdekat sebulan sekali dan menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Kes akan disebut semula pada 19 November depan.

ARTIKEL BERKAITAN

Pesara tentera ditahan terima rasuah jual pangsapuri PVATM

Media pada Isnin lalu melaporkan SPRM menahan seorang pesara tentera bagi membantu siasatan menerima rasuah lebih RM405,000 membabitkan penjualan lima unit pangsapuri Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) di negeri ini.

Suspek ditahan ketika hadir memberikan keterangan di Pejabat SPRM negeri di sini.

Hasil siasatan SPRM mendapati suspek meminta dan menerima wang rasuah itu daripada seorang pemilik syarikat sebagai balasan menjual lima pangsapuri yang juga aset PVATM dengan harga yang lebih rendah daripada harga pasaran.

Kejadian berlaku pada 2015 dan suspek ketika itu memegang jawatan Ketua Penerangan PVATM. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast