Rafizi Ramli

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli menyindir Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang mengkritik dasar ekonomi negara kononnya terlalu bergantung kepada Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).

Menurut bekas Menteri Ekonomi itu, Abdul Hadi yang mencadangkan supaya Malaysia bersandarkan kepada kerjasama ekonomi dengan negara Islam sepatutnya sudah membuktikan keupayaan itu ketika beliau memegang jawatan sebagai Duta Khas bertaraf menteri ke Timur Tengah.

“Saya dengar ucapan belanjawan Ahli Parlimen Marang, antara hujah utama ialah ekonomi kita berkiblatkan IMF dan Bank Dunia sedangkan Malaysia ada kawan-kawan negara Islam yang kaya.

“Bila ditanya Ahli Parlimen Hulu Terengganu supaya Malaysia tidak guna USD, Marang (Abdul Hadi) setuju. Bunyi sedap di warung kopi,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook hari ini.

Dana nada sinis, Rafizi turut mempersoalkan mengapa ketika Abdul Hadi ketika memegang jawatan penting dalam kerajaan terdahulu serta Pas mempunyai beberapa menteri Kabinet, gagasan tersebut tidak dilaksanakan.

“Semasa beliau jadi duta khas berstatus menteri ke Timur Tengah, kenapa tidak berjaya membina kerjasama ekonomi dengan negara-negara Islam yang beliau selalu rujuk ini? Semasa Pas jadi sebahagian kerajaan, kenapa tidak menukar sistem supaya tidak lagi menggunakan USD?” soalnya.

Malah Rafizi berkata, kenyataan Abdul Hadi yang menolak penggunaan dolar Amerika Syarikat seolah-olah hanya retorik politik tanpa pelan tindakan yang jelas untuk menggantikan mata wang antarabangsa itu.

Menurut beliau, hujah sedemikian mungkin mudah menarik perhatian rakyat di warung kopi namun tidak mencerminkan realiti urus niaga global yang memerlukan kestabilan mata wang dan rangka kerja kewangan antarabangsa yang kukuh.

“Ahli-ahli Parlimen PN tepuk tersenyum lebar lepas dengar ucapan Marang sedangkan rakyat tersenyum sinis,” sinisnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast