KUALA LUMPUR – Seorang rakyat Malaysia dijatuhi hukuman penjara 18 bulan atas kesalahan menyeludup dua Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) warganegara Indonesia.

Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) berkata, keputusan tersebut dibuat Mahkamah Tinggi Jenayah (2) Shah Alam mengikut Seksyen 26J, Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (Akta 670). 

Katanya, tertuduh ditahan di Jalan Taman Putra Kajang, Selangor, 29 Ogos lalu menerusi operasi khas yang dijalankan pengawai Bahagian Perisikan bersama Bahagian Pencegahan ATIPSOM dan AMLA, Ibu Pejabat JIM Putrajaya.

“Tertuduh ditahan bersama dua migran di dalam sebuah kenderaan Perodua Alza,” kata jabatan itu dalam satu kenyataan hari ini.

JIM menasihati masyarakat agar sentiasa berwaspada dan melaporkan sebarang aktiviti yang mecurigakan berkaitan jenayah rentas sempadan ini.

Segala bentuk penglibatan sama ada secara langsung atau tidak dalam aktiviti penyeludupan migran adalah satu kesalahan serius dan akan dikenakan tindakan sewajarnya. 

Tegasnya, tindakan undang – undang tanpa kompromi akan diambil terhadap individu, sindiket, majikan atau pemilik premis yang menggaji, melindungi atau bersekongkol dengan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) serta warga asing yang memasuki negara ini secara tidak sah. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast