KUALA LUMPUR – Insiden pembunuhan pelajar perempuan di sebuah sekolah di Bandar Utama menjadi tamparan hebat kepada masyarakat dan bukti nyata keruntuhan akhlak dalam kalangan pelajar sekolah.
Menurut Ketua Belia Parti Progresif Penduduk (PPP) Malaysia, Sathiah Sudakaran, insiden itu mencerminkan betapa seriusnya krisis moral dan kemanusiaan yang sedang melanda generasi muda hari ini.
“Masalah ini bukan lagi kes terpencil tetapi sudah menjadi isu sosial nasional yang menuntut tindakan segera. Semua pihak ibu bapa, sekolah dan kerajaan mesti memikul tanggungjawab bersama,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kata Sathiah, ibu bapa berperanan penting membentuk sahsiah dan moral anak-anak sejak kecil.
Menurut beliau, sekolah pula perlu memperkukuh nilai yang diasuh di rumah dengan memberi penekanan semula kepada aspek moral dan sivik bukan sekadar akademik semata-mata.
Justeru itu, beliau menggesa Kementerian Pendidikan (KPM) memperkukuh dasar sedia ada dengan memberi tumpuan kepada pembangunan karakter, pengurusan emosi dan bimbingan psikososial.
Katanya, guru kaunseling perlu diberi latihan mencukupi untuk mengenal pasti pelajar yang berdepan tekanan atau kemurungan.
Dalam masa sama, Sathiah menolak hukuman fizikal sebagai penyelesaian terhadap masalah disiplin pelajar.
“Ketegasan tanpa kasih sayang hanya menimbulkan ketakutan, bukan kesedaran. Kita perlu mendidik dengan nilai empati dan tanggungjawab sosial,” tegasnya.
Beliau turut memetik saranan Presiden PPP, Datuk Dr. Loga Bala Mohan yang menyeru supaya sistem pendidikan dikaji semula agar pelajar bukan sahaja cemerlang akademik tetapi juga berakhlak dan berdisiplin.
“Tragedi di SMK Bandar Utama ini harus menjadi amaran keras. Jika hari ini pelajar membawa pisau ke sekolah, tidak mustahil suatu hari nanti senjata lebih berbahaya pula dibawa,” katanya. -MalaysiaGazette
















