AHLI Parlimen Jelebu, Datuk Seri Jalaluddin Alias pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

KUALA LUMPUR – Kerajaan digesa mengkaji semula struktur serta fungsi Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) yang dilihat semakin jauh daripada objektif asal penubuhannya untuk melindungi kepentingan pengguna dan memastikan pasaran yang adil serta kompetitif.

Ahli Parlimen Jelebu, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, MyCC kini dilihat hanya memberi tumpuan kepada isu teknikal dalam sektor kurang kritikal selain mengejar kes berprofil tinggi yang tidak memberi kesan langsung kepada rakyat.

Menurut beliau, ketika rakyat terbeban dengan caj dan bayaran yang seolah-olah tidak mendapat perhatian MyCC, pemain industri utama seperti makanan, pengangkutan, perubatan dan insurans terus meraih keuntungan besar saban tahun tanpa kawalan sewajarnya.

“Justeru, wajar sekali satu kajian semula terhadap bidang kuasa dan keutamaan penguatkuasaan MyCC dilakukan segera supaya tidak dilihat syok sendiri.

“Kegagalan mengutamakan kepentingan rakyat adalah kegagalan yang tidak boleh dikompromi. Sudah terbukti isu kos sara hidup di beberapa negara membawa kepada rusuhan rakyat dan akhirnya menggugat kestabilan serta ekonomi negara,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2026 di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau turut menegaskan sikap MyCC yang gagal menumpukan kepada isu sebenar dianggap seolah-olah sabotaj terhadap Kerajaan MADANI yang komited membela rakyat.

Tambah Jalaluddin, kegiatan kartel dalam sektor makanan bukan sekadar menjejaskan struktur persaingan pasaran malah membawa kesan langsung terhadap harga barangan keperluan harian yang ditanggung pengguna.

“Sampai hari ini rakyat bercakap soal pencatutan, harga ayam dan daging serta pelbagai makanan utama lain yang menurut penganalisis dicorakkan dan ditentukan oleh kartel.

“Pendedahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan kes kartel susu tepung membabitkan bekalan bernilai RM120 juta yang tidak mematuhi piawaian SIRIM juga sudah cukup memperlihatkan kegagalan MyCC terhadap bidang kuasa dan fokus sebenar,” katanya.

Jalaluddin mencadangkan agar di bawah penstrukturan baharu, MyCC melantik sebuah badan penasihat seperti yang dilaksanakan oleh SPRM bagi memperkukuh integriti dan keberkesanan penguatkuasaan.

“Semua langkah pembetulan dan kajian semula ini penting bagi memastikan persekitaran perniagaan terbaik yang boleh memacu ekonomi negara dengan pantas. Pada masa sama, MyCC yang berwibawa juga perlu membina keyakinan pelabur dan menjaga kepentingan awam sebagai terasnya,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast