KUALA LUMPUR – Seorang murid Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) Sekolah Kebangsaan (SK) Meru, Jalan Tap, Klang dilaporkan meninggal dunia awal pagi tadi, akibat jangkitan Influenza A.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S. Vijaya Rao yang mengesahkan perkara itu berkata, mangsa dikenali sebagai Muhammad Syeikhu Azrin berusia 8 tahun disahkan meninggal dunia jam 4.30 pagi.
“Hasil siasatan mendapati mangsa dijangkiti Influenza A dan seluruh ahli keluarganya juga positif wabak itu dan sedang kuarantin.
“Kematian kanak-kanak istimewa ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR),” katanya ketika dihubungi hari ini.
Tambah beliau, pihak kesihatan juga sudah mengambil langkah pencegahan serta pemantaun terhadap ahli keluarga mangsa bagi mengawal penularan jangkita di kawasan terlibat.
Terdahulu, sebanyak dua kes kematian dikaitkan dengan influenza membabitkan kanak-kanak lelaki masing-masing berusia empat dan 11 tahun direkodkan setakat ini.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dilaporkan berkata, kematian itu membabitkan kanak-kanak berusia empat tahun tinggal di Sabah, manakala 11 tahun di Terengganu.- MalaysiaGazette
















