KUALA LUMPUR – Pendidikan ‘Jungle School’ yang merupakan satu usaha memanusiakan pendidikan melalui alam semula jadi dengan berteraskan komuniti telah memasuki fasa kedua.

Ia adalah hasil daripada pendanaan RM100,000 daripada Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) di bawah Program Pendayaan Komuniti Universiti Awam (KOMUNITI@UNIMADANI) 2025.

Pensyarah Institut Biodiversiti Tropika dan Pembangunan Lestari Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Dr. Norhayati Ab Manaf berkata, fasa pertama yang dilakukan menunjukkan rekod yang positif dan kini diperluaskan ke kawasan Sungai Pergam.

“Kejayaan Fasa 1 yang dijalankan dari 2021 hingga 2023 membuktikan bahawa apabila pendidikan dirangka dengan jiwa dan kefahaman budaya komuniti, hasilnya amat luar biasa. Pelajar bukan sahaja menunjukkan peningkatan akademik, malah lebih bersemangat untuk ke sekolah berbanding sebelumnya.

“Kita dapati kadar kehadiran meningkat, minat terhadap pembelajaran bertambah dan keciciran pelajar menurun,” katanya.

Sekolah yang terlibat dengan projek ini adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Berua, Hulu Terengganu dan SK Sungai Pergam, Kemaman yang masing-masing mempunyai 53 dan 47 orang pelajar.

Diterajui oleh Dr. Norhayati, projek ini sekali lagi telah menyatukan kepakaran dan semangat UMT bersama masyarakat Orang Asli dalam memperkukuhkan akses,kualiti dan minat belajar anak-anak di kedua-dua sekolah luar bandar tersebut.

Menurut Pejabat Komunikasi Korporat UMT, ‘Jungle School’ menggabungkan pendekatan pembelajaran berasaskan alam semula jadi yang menekankan kemahiran asas iaitu membaca, menulis dan mengira.

“Serta memperkukuh penguasaan Sains, Matematik dan Bahasa Melayu” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Fasa kedua projek turut memberi perhatian terhadap pembangunan sosioekonomi antara pelajar seperti keyakinan diri, sifat empati dan daya ketahanan agar terus mencintai ilmu dengan membentuk jati diri dan motivasi yang positif.

“Pelaksanaan projek ‘Jungle School’ memberi impak positif terhadap perkembangan pembelajaran kanak-kanak orang asli”, tambah Dr. Norhayati.

Ia berikutan kejayaan fasa pertama projek tersebut yang dilaksanakan di SK Kampung Sungai Berua sehingga mencetuskan perubahan ketara.

Menurut UMT, projek ini tidak akan terhenti malah pasukan penyelidiknya akan merancang dan mewujudkan ‘Jungle School Tunnel’ yang menampilkan bahan-bahan pengajaran berasaskan 3M dan sosioemosi.

Jungel School Tunnel

Kewujudan ruang ini penting bagi menaikkan keupayaan pelajar dalam berinteraksi dengan bahan pelajaran bertema alam semula jadi, dan literasi yang menyeronokkan sambil membina keyakinan dan kreativiti secara semula jadi, ujarnya.

Selain itu, UMT berkata, pelaksanaan ‘Jungle School’ merupakan tanggungjawab sosial universiti kepada rakyat dalam membuktikan pendidikan seharusnya tidak dibatasi dengan sempadan bandar atau pendalaman dengan setiap anak bangsa berhak mendapat peluang yang sama untuk berjaya.

Sementara itu, Naib Canselor UMT, Prof. Ts. Dr. Mohd Zamri Ibrahim berkata, inisiatif ini merupakan simbol yang nyata bagaimana sebuah universiti harus berfungsi dalam melakukan perubahan sosial dengan ilmu dan empati.

Beliau menegaskan bahawa inilah makna sebenar sebuah universiti yang tidak hanya menilai kejayaan berdasarkan angka atau penarafan global tetapi sejauh mana ia mampu mengubah insan lain. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast