KUALA LUMPUR – Ketua Wanita MIC Kebangsaan, N Saraswati rasa terkejut dan berdukacita terhadap insiden tragik yang mengorbankan seorang pelajar perempuan Tingkatan Empat selepas ditikam oleh rakan sekolahnya di Petaling Jaya baru-baru ini.
Katanya, insiden menggemparkan itu bukan sekadar isu disiplin semata-mata sebaliknya mencerminkan tekanan sosial, emosi dan mental yang semakin membebani pelajar sekolah hari ini.
“Tragedi ini harus menjadi amaran besar kepada semua pihak. Sistem pendidikan kita perlu memberi tumpuan lebih mendalam terhadap keselamatan fizikal, kesejahteraan emosi dan kesihatan mental pelajar,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Saraswati yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemelah, sekolah bukan sekadar tempat menuntut ilmu tetapi juga ruang perlindungan dan pembentukan sahsiah pelajar.
Sehubungan itu, beliau menggesa Kementerian Pendidikan (KPM) menilai semula semua protokol keselamatan di sekolah termasuk kawalan terhadap kemasukan barangan berbahaya, mekanisme pemantauan pelajar berisiko serta pelaksanaan intervensi awal bagi pelajar yang menunjukkan tanda-tanda tekanan atau gangguan emosi.
Beliau turut menekankan kepentingan memperkukuh peranan guru bimbingan dan kaunseling dengan latihan serta sokongan mencukupi bagi membantu pelajar yang berdepan tekanan mental atau emosi.
“Guru kaunseling adalah barisan hadapan dalam menangani krisis emosi pelajar dan perlu diberikan perhatian khusus dalam dasar pendidikan semasa,” ujarnya.
Dalam pada itu, Saraswati mencadangkan supaya kerjasama rentas kementerian dan agensi kerajaan, termasuk Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) diperhebat bagi membentuk ekosistem sokongan psikososial yang lebih menyeluruh dan berkesan.
“Kita tidak boleh melihat isu ini dari sudut disiplin semata-mata tetapi sebagai masalah sosial dan kemanusiaan yang menuntut tindakan bersama,” katanya.
Beliau juga mahu ibu bapa agar lebih peka terhadap perubahan tingkah laku dan emosi anak-anak, memandangkan dunia hari ini sarat dengan tekanan akademik, sosial dan pengaruh digital.
“Kadangkala diam anak-anak itu sebenarnya jeritan senyap yang meminta perhatian,” tambahnya.
Saraswati menegaskan, keselamatan dan kesejahteraan pelajar adalah tanggungjawab bersama semua pihak termasuk guru, ibu bapa, komuniti dan kerajaan.
“Tragedi ini mesti menjadi titik tolak kepada reformasi menyeluruh dalam pendekatan terhadap kesejahteraan pelajar agar tiada lagi nyawa muda yang terkorban akibat penderitaan yang tidak disedari,” katanya.
Beliau turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa dan berharap siasatan dijalankan dengan telus bagi memastikan keadilan ditegakkan sepenuhnya. – MalaysiaGazette
















