Menteri Pendidikan yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal, Fadhlina Sidek.

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan (KPM) mengambil tindak drastik apabila melaksanakan reformasi serta-merta ke atas sistem dan mekanisme sedia ada selain memperkasa program pendidikan bagi meningkatkan aspek keselamatan dan kesejahteraan murid di sekolah.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, ia melibatkan lima fokus utama dijadikan sebagai teras merangkumi kesihatan kental, pendidikan kesihatan reproduktif dan sosial dalam menangani keganasan seksual terhadap kanak-kanak dan pencegahan bahan terlarang, dasar perlindungan kanak-kanak, penjagaan guru dan suara murid.

Tambah beliau, serentak itu juga, semua Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dikerah untuk pelaksanaan secara praktikal dan efisien serta-merta di semua 10,243 sekolah seluruh Malaysia.

“KPM akan menilai keberkesanan usaha ini secara intensif dan berkala. Pemantauan dan penilaian pelaksanaan terhadap semua inisiatif yang dilaksanakan pihak sekolah akan dinilai semula setiap 15 hari.

“Menteri dan timbalan menteri serta pengurusan tertinggi KPM akan terus bertemu dengan warga pendidik dan murid bagi mendengar dan mendapatkan input berkaitan pelaksanaan inisiatif ini,” katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Salamiah Mohd Nor (PN-Temerloh) mengajukan soalan kepada Menteri Pendidikan mengenai tindakan segera dan menyeluruh yang telah dan akan diambil bagi memastikan insiden tragis seperti kes pelajar dirogol dalam kelas tidak berulang.

Mengulas lanjut, Fadhlina menambah, suara murid adalah signifikan dalam memastikan
ekosistem sekolah selamat ini kerana pandangan, hasrat serta hak mereka adalah terkait dengan apa yang disebut sebagai ” what they want and what they need”. Suara murid adalah suara nurani.

Katanya, suara itu mesti didengar dan diberikan perhatian kerana suara anak-anak adalah cerminan kepada perasaan, pengalaman dan harapan mereka.

“Kerangka ini menekankan pendekatan holistik yang bukan sahaja melibatkan pihak sekolah tetapi juga ibu bapa, agensi kerajaan, dan komuniti.

“Dengan pelaksanaan yang terancang dan pemantauan berterusan, KPM berhasrat mewujudkan persekitaran pendidikan yang selamat, inklusif, dan sejahtera untuk semua warga sekolah.

“KPM mengalu-alukan sebarang pandangan dan input daripada semua pihak,
bagi kita sama-sama merempuh cabaran ini bagi menjamin masa depan
anak-anak generasi pewaris kita,” katanya.  – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast