Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar menunjukkan barang yang dirampas dalam kes pelajar perempuan Tingkatan Empat yang maut ditikam seorang pelajar lelaki ketika di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, Shah Alam. Foto MOHD ADZLAN, 15 OKTOBER 2025.

Oleh: Dr. Hafirda Akma Musaddad

SEKOLAH sepatutnya menjadi tempat menimba ilmu, membina sahsiah dan menanam nilai kemanusiaan. Namun, realiti kebelakangan ini cukup menggetarkan hati. Kes
tikaman pelajar, kes rogol, kes buli hingga mencederakan rakan sendiri semuanya bukan sekadar tajuk berita sensasi, tetapi tanda amaran bahawa sistem pendidikan kita sedang tenat dari dalam. Kita tidak lagi bercakap hanya tentang pencapaian akademik atau ranking sekolah, tetapi tentang jiwa pendidikan yang semakin hilang arah. Bila murid menjadi pelaku jenayah, guru menjadi mangsa tekanan, dan ibu bapa kehilangan kepercayaan kepada institusi Pendidikan, maka kita sedang menyaksikan bukan sekadar krisis disiplin, tetapi krisis nilai dan kemanusiaan.

Pendidikan yang terluka
Kes-kes kekerasan di sekolah bukanlah isu terpencil. Dalam dekad kebelakangan ini, laporan tentang buli fizikal, gangguan seksual, dan pelanggaran disiplin berat semakin kerap muncul di media. Laporan UNICEF pada tahun 2020 mengenai buli dalam kalangan kanak-kanak mendapati Malaysia menduduki tempat kedua di Asia selepas
India dan tempat keenam di dunia untuk siber buli.

Laporan menunjukkan 3 daripada 10 kanak-kanak terjejas. Melalui U-Report, UNICEF melaporkan 28 peratus daripada 7,000 kanak-kanak mengalami siber buli, manakala dalam kajian IPSOS 2018, 23 peratus ibu bapa melaporkan anak-anak mereka dibuli. Apabila sekolah gagal menjadi tempat yang selamat, kesannya bukan hanya kepada mangsa, tetapi juga kepada seluruh ekosistem pendidikan. Pelajar yang trauma sukar menumpukan perhatian, guru berhadapan tekanan mental, dan reputasi sekolah terjejas. Dalam jangka panjang, situasi ini boleh menjejaskan mutu pembelajaran dan kepercayaan masyarakat terhadap institusi pendidikan awam.

Calar pada imej dan ekonomi negara
Krisis nilai dalam pendidikan bukan hanya isu moral, tetapi juga isu ekonomi dan imej negara. Malaysia selama ini dikenali sebagai negara yang menitikberatkan pendidikan sebagai pemacu pembangunan. Namun, apabila berita tentang keganasan pelajar tular di peringkat antarabangsa, ia menimbulkan persoalan tentang keberkesanan sistem pendidikan kita dalam membentuk generasi berakhlak dan berilmu. Imej pendidikan yang tercalar memberi kesan langsung kepada pelaburan dan keyakinan luar.

Negara yang dilihat gagal mendidik rakyatnya dengan nilai hormat, empati dan disiplin akan berdepan kesukaran menarik pelabur yang mencari kestabilan sosial. Lebih jauh, isu ini boleh mengganggu sasaran kerajaan dalam membina ekonomi berasaskan ilmu dan modal insan (knowledge-based economy). Dari sudut mikro pula, kes jenayah di sekolah boleh membawa kesan ekonomi kepada keluarga mangsa dan pelaku, kos rawatan, kehilangan masa belajar, stigma sosial dan peluang masa depan yang terjejas. Semua ini menggambarkan bahawa setiap tindakan ganas di sekolah membawa kesan berganda, jauh melampaui pagar sekolah itu sendiri.

Peranan masyarakat
Menyalahkan sekolah atau kerajaan semata-mata bukan penyelesaian. Realitinya, pendidikan adalah tanggungjawab Bersama dan tanggungjawab satu bangsa.
Dalam setiap kejadian tragis yang berlaku di sekolah, ada cerminan kegagalan kita semua: keluarga yang hilang sentuhan, masyarakat yang hilang prihatin, dan sistem yang leka dengan angka tetapi lupa pada jiwa.

Kerajaan dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berperanan sebagai pelindung utama generasi muda. Dasar perlindungan murid perlu diperkasa bukan hanya di atas kertas, tetapi melalui pelaksanaan tegas dan pemantauan berterusan. Antara langkah konkrit yang boleh diperhebat termasuk pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan panas seperti koridor, tandas dan padang sekolah; pelaksanaan rondaan berkala atau spot check disiplin oleh pihak sekolah dan pegawai daerah pendidikan; serta latihan anti-buli dan keselamatan emosi kepada guru serta staf sokongan secara berkala.

Guru juga perlu dilatih untuk membaca bahasa tubuh dan emosi pelajar yang sedang mengalami tekanan atau trauma. Dalam dunia pendidikan hari ini, kecerdasan emosi guru sama pentingnya dengan kecerdasan intelek. Oleh itu, pelaburan terhadap kesejahteraan guru adalah pelaburan terhadap keselamatan murid. Selain itu, KPM boleh menubuhkan Unit Perlindungan Murid (UPM) di setiap sekolah bagi menjadi saluran aduan selamat (safe reporting system) dan pusat rujukan segera jika berlaku insiden. Audit keselamatan sekolah pula perlu dijalankan sekurang-kurangnya sekali setahun bagi menilai tahap keselamatan fizikal dan psikososial pelajar.

Pihak sekolah pula mesti menjadi benteng pertama pencegahan. Sekolah bukan hanya tempat belajar, tetapi komuniti kecil yang membentuk insan. Guru perlu diberi ruang dan sokongan untuk menjadi pembimbing nilai, bukan sekadar penyampai silibus. Sistem mentor-mentee, sesi kaunseling berkala dan pendekatan restorative discipline yang menekankan pemulihan dan tanggungjawab berbanding hukuman semata-mata boleh membantu memupuk budaya empati, hormat dan kasih antara pelajar serta warga sekolah.

Penglibatan pengawal keselamatan dan warden asrama dalam latihan kesedaran keselamatan juga penting bagi memastikan pelajar sentiasa berada dalam persekitaran terkawal. Sekolah wajar mewujudkan “Zon Selamat Sekolah” yang bebas buli dengan pengawasan guru bertugas dan sistem amaran awal sebagai langkah pencegahan.
Ibu bapa dan penjaga adalah madrasah pertama dalam kehidupan anak-anak. Banyak kes buli dan jenayah pelajar berpunca daripada kurangnya perhatian, komunikasi dan
kasih sayang di rumah. Anak yang tidak mendapat bimbingan dan sempadan di rumah akan mencarinya di luar dan kadangkala di tempat yang salah. Maka, ibu bapa perlu
kembali hadir secara emosi, bukan sekadar fizikal; bertanya, mendengar dan memahami anak-anak mereka setiap hari. Rumah yang bahagia ialah benteng pertama
menolak budaya ganas dan buli.

Masyarakat dan media juga punya tanggungjawab besar. Jangan sekadar menularkan tragedi, tetapi jadikan setiap berita sebagai ruang pendidikan. Liputan media harus
membina kesedaran, bukan ketakutan; mengajak masyarakat bertindak, bukan sekadar bersimpati. Media sosial pula perlu menjadi wadah penyebaran nilai, bukannya pentas menormalisasi kekasaran atau ejekan. Lebih luas lagi, syarikat korporat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) boleh memainkan peranan penting dalam menyokong pendidikan nilai dan kesejahteraan mental pelajar.

Melalui program tanggungjawab sosial korporat (CSR), mereka boleh membantu membiayai program literasi digital, kempen anti-buli, dan inisiatif sokongan
psikososial di sekolah. Dalam era siber yang semakin mencabar, literasi digital bukan lagi pilihan, tetapi keperluan agar anak-anak tahu menilai, mengawal dan
bertanggungjawab terhadap setiap tindakan mereka di alam maya. Akhirnya, tanggungjawab ini bersifat kolektif. Kita semua, ibu bapa, guru, pemimpin, dan
masyarakat memegang kunci untuk menentukan arah pendidikan negara. Sama ada sekolah menjadi zon aman atau medan luka sosial bergantung kepada sejauh mana kita
sanggup bertindak, mendengar, dan membimbing bersama.

Kembalikan jiwa pendidikan
Pendidikan bukan sekadar peperiksaan, tetapi proses membentuk manusia. Nilai seperti hormat, sabar, dan kasih sayang perlu ditanam seawal mungkin. Pendidikan moral dan agama mesti diperkasakan, bukan sekadar di atas kertas tetapi melalui teladan dan budaya sekolah yang hidup. Jika kita mahu melahirkan masyarakat beretika dan berdaya saing, maka sistem pendidikan mesti kembali berjiwa dan bukan hanya berfungsi sebagai kilang akademik.

Guru perlu diberi ruang dan sokongan untuk mendidik dengan hati, bukan sekadar memenuhi silibus. Luka di sekolah bukan lagi isu terpencil, tetapi cerminan kepada keadaan sosial negara. Setiap insiden buli, tikaman, atau rogol pelajar adalah cermin retak pada wajah bangsa. Jika tidak ditangani segera, kita bukan sahaja kehilangan pelajar, tetapi kehilangan masa depan. Mengubati luka ini memerlukan keberanian dan keikhlasan semua pihak kerajaan, sekolah, guru, ibu bapa, dan masyarakat. Hanya apabila kita bersama-sama mengembalikan nilai dalam pendidikan, barulah sekolah boleh kembali menjadi zon aman tempat di mana ilmu, akhlak, dan maruah negara disemai semula dengan penuh kasih dan tanggungjawab.

Penulis adalah Pensyarah Kanan (Ekonomi & Pembangunan Sosial),
Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Kelantan

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast