ZURICH – Nestle bakal mengurangkan 16,000 pekerja dalam tempoh dua tahun akan datang selepas Ketua Pegawai Eksekutif Philipp Navratil mendesak untuk memberi tumpuan kepada produk dengan “potensi pulangan tertinggi”.
Angka itu melibatkan 12,000 pekerja kolar putih dan kira-kira 4,000 lagi di bahagian pengeluaran dan rantaian bekalan.
Syarikat Switzerland itu mesti “berubah lebih pantas” untuk mengikuti perubahan dunia dan mengamalkan “minda prestasi” yang tidak menerima kehilangan bahagian pasaran kepada pesaing, kata Navratil.
Beliau yang baharu dilantik menggantikan bekas Laurent Freixe yang dipecat pada September lalu kerana hubungan romantis dengan seorang pekerja.
Pemberhentian kerja diumumkan pada Khamis semasa Nestle melaporkan angka jualan yang lebih baik dalam sembilan bulan pertama 2025, menjual lebih banyak produk merentas kategori utamanya, termasuk kopi dan gula-gula.
Syarikat makanan dan minuman berbungkus terbesar di dunia ini memiliki ratusan jenama, termasuk Nescafe, KitKat dan Maggi.
Pemberhentian itu akan menjimatkan kira-kira 1 bilion SFr (£940 juta) setiap tahun sebagai sebahagian daripada usaha penjimatan kos yang berterusan, katanya.
Harga saham Nestle naik 7.5% sejurus selepas kemas kini dagangannya dan pemberhentian kerja diumumkan.
Navratil berkata: “Kami memupuk budaya yang merangkumi minda prestasi, yang tidak menerima kehilangan bahagian pasaran, dan kemenangan diberi ganjaran… Dunia sedang berubah, dan Nestle perlu berubah lebih cepat.
Perubahan itu termasuk “keputusan yang sukar tetapi perlu untuk mengurangkan bilangan pekerja”, katanya. – Agensi
















