Tangkap layar keratan laporan media berhubung reformasi KPM yang akan dilakukan serta merta diumumkan Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek hari ini.

GEORGE TOWN – Pertubuhan Damai Revolusi Masyarakat Malaysia menyambut baik langkah drastik Kementerian Pendidikan (KPM) yang melaksanakan reformasi serta-merta melibatkan lima fokus utama memperkukuh keselamatan dan kesejahteraan murid di sekolah.

Langkah yang diumumkan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek itu turut menyaksikan kesemua Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dikerah melaksanakannya secara praktikal di 10,243 sekolah di samping pemantauan keberkesanan setiap 15 hari oleh pihak pengurusan tertinggi kementerian.

Pengerusinya, L. Francis Xavier berkata, pendekatan segera yang diambil  menunjukkan keseriusan KPM dalam menangani isu keselamatan murid secara menyeluruh bukan hanya bertindak selepas berlakunya tragedi.

“Tindakan proaktif sebegini penting kerana ia memberi mesej jelas bahawa perlindungan murid bukan lagi isu pinggiran. Apabila pelaksanaan dilaksanakan serta-merta di peringkat sekolah, PPD dan JPN, itu menandakan kementerian tidak mahu perubahan tinggal di atas kertas.

Francis.

“Penekanan terhadap suara murid, pendidikan kesihatan reproduktif dan sosial, dasar perlindungan kanak-kanak serta penjagaan guru adalah pendekatan yang realistik dan menyentuh punca masalah.

“Apabila suara murid dianggap suara nurani dan diangkat sebagai sebahagian ekosistem penyelesaian, itu menunjukkan kefahaman bahawa pencegahan mesti datang daripada pengalaman mereka sendiri, bukan hanya arahan pentadbiran,” katanya hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN:

KPM laksana reformasi serta-merta tingkat aspek keselamatan murid sekolah

Tambah beliau, komitmen KPM untuk membuat penilaian semula setiap 15 hari dan turun sendiri ke lapangan bagi mendapatkan input warga pendidik serta murid adalah usaha yang wajar diperkasa dan dipantau bersama masyarakat.

Bagaimanapun, katanya, selain reformasi tersebut, pengukuhan kemahiran guru juga perlu diberi perhatian agar pelaksanaan dasar tidak terhenti pada tahap pentadbiran.

Jelas beliau, pelajar hari ini berdepan pengaruh teknologi, media sosial dan masalah sosial yang kompleks. Jadi selain berbicara tentang imbuhan guru, mereka juga perlu melengkapkan diri dengan kemahiran dan pendekatan baharu.

“Jadi latihan dan kursus berkala boleh membantu guru menyesuaikan diri kerana peranan mereka bukan sekadar mengajar, tetapi membimbing generasi dalam suasana yang jauh berbeza berbanding dahulu.

“Jika sekolah swasta mampu menunjukkan keberkesanan melalui latihan dalaman dan budaya kerja yang tersusun, sekolah kerajaan juga wajar diberi ruang dan sumber agar kualiti pengajaran dan kesejahteraan warga pendidik meningkat seiring reformasi yang digerakkan KPM.

“Kita berharap pelaksanaan berterusan dengan pemantauan rapi dapat memastikan reformasi yang diumumkan tidak tergendala serta menjadi model kepada kementerian lain dalam menangani isu kesejahteraan kanak-kanak,” katanya.

Semalam, Pertubuhan Damai Revolusi Masyarakat mencadangkan agar penilaian semula kelayakan guru serta pemantapan sistem keselamatan sekolah dijadikan agenda utama negara.

Katanya, langkah penilaian semula bukan bertujuan menyalahkan guru, sebaliknya sebagai mekanisme profesional untuk memastikan mereka bersedia menangani cabaran pendidikan semasa termasuk isu disiplin pelajar, keselamatan dan perubahan sosial. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast