KUALA LUMPUR – Seramai 171 orang pegawai kanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima Sijil Profesional Kepimpinan PDRM Kalis Masa Depan, semalam.
Pengarah Pengurusan PDRM, Datuk Seri Abdul Aziz Abdul Majid berkata, inisiatif ini diadakan bagi meningkatkan tahap profesionalisme pegawai kanan PDRM selari dengan Pelan Strategik PDRM 2021-2025.
Tambah beliau, para pegawai kanan yang bergraduasi merupakan perintis kepada usaha memperkemaskan kaedah pencarian lapisan kepimpinan muda atau pool of talent yang berpotensi untuk mengisi jawatan penting dan strategik dalam PDRM.
“Sebagai pasukan penguatkuasa terulung di Malaysia, PDRM perlu diterajui oleh mereka yang berkompetensi, berkredibiliti, profesional dan berintegriti tinggi.
“Program-program ini juga diyakini mampu memperkukuhkan daya kepimpinan menerusi pembangunan bakat berasaskan kompetensi.
“Menerusi program kepimpinan seumpama ini, ia bukan sahaja dapat menjamin kelangsungan kepimpinan, yang unggul malah berupaya memacu penyampaian perkhidmatan kepolisan yang cemerlang dan berterusan seiring dengan penarafan world class policing,” katanya.
Beliau menyatakan demikian ketika pada majlis Graduasi Program Sijil Profesional Kepimpinan PDRM Kalis Masa Depan Sesi 2024-2025 yang berlangsung di Dewan Perdana Felda, di sini.
Program ini terdiri darpada tiga kategori utama iaitu Sijil Profesional Penilai Kompetensi Kepimpinan Tertinggi dalam Kepolisan bagi pegawai berpangkat Deputi Komisioner Polis (DCP) dan Senior Asisten Komisioner (SAC), Sijil Profesional Kepimpinan Strategik Kepolisan untuk pegawai berpangkat Asisten Komisioner Polis (ACP) serta Sijil Profesional Kepimpinan Pengoperasian Kepolisan bagi pegawai berpangkat Superintendent.
Selain itu, Program Profesional Kepimpinan, PDRM Kalis Masa Depan ini mempunyai tiga objektif penting iaitu Memperkasa kepimpinan keselamatan melalui pembangunan kompetensi dan kemahiran strategik, melahirkan pegawai polis berilmu, beretika dan berintegriti serta menyediakan latihan profesional berimpak tinggi bagi memperkukuh kepimpinan PDRM.
Menurut Abdul Aziz, inisiatif yang dijalankan melalui usaha sama antara PDRM dan UKM itu dapat menjamin keupayaan modal insan kalis masa depan ke arah ekosistem keselamatan yang komprehensif dan efisien.
Sementara itu, Pengarah Yayasan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Canselor Prof. Ts. Dr. Faizal Mohamed berkata, insiatif ini memperkukuh kepimpinan keselamatan negara dengan melengkapkan pegawai PDRM dengan kompetensi teras, pemikiran strategik dan ilmu kalis masa depan, selari dengan tuntutan perubahan teknologi dan sosial semasa.
“Selaras dengan aspirasi UKM sebagai pemangkin pembangunan negara, kami terus komited untuk menghasilkan modal insan berwibawa, termasuk dalam sektor keselamatan, pertahanan dan penguatkuasaan undang-undang.
“Program kali ini bukan sekadar latihan profesional, tetapi juga suatu manifestasi nilai bersama yang kita junjung iaitu keilmuan, amanah dan tanggungjawab kepada negara,” ujarnya. – Malaysiagazette
















