KUALA LUMPUR – Pendakwah bebas, Ustaz Ahmad Husam Baderudin menarik nafas lega apabila akaun Yayasan Ar Riyaadah dibekukan sejak hampir setahun lalu, ditarik balik.
Beliau berkata, keputusan itu membolehkan urusan pusat pengajian tahfiz miliknya itu kembali normal, sekaligus membuktikan yayasan berkenaan bebas daripada sebarang salah laku.
“Saya amat teruja untuk berkongsi khabar gembira ini dengan semua. Masih ingat lagi isu yang pernah tular sebelum Ramadan lalu, berkaitan pembekuan akaun bank Yayasan Ar Riyaadah?
“Alhamdulillah, setelah hampir setahun proses semakan dan siasatan dijalankan oleh pihak berkuasa, kami telah menerima notis rasmi pembatalan arahan pembekuan akaun.
“Ini bermakna akaun-akaun bank yayasan kini telah dibuka semula sepenuhnya dan kami boleh kembali menjalankan aktiviti kebajikan serta pendidikan seperti biasa,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.
Menurut Husam, tempoh hampir setahun pembekuan akaun itu merupakan tempoh sangat mencabar, apatah lagi ia dilakukan seorang aktivis polis yang mempunyai niat tidak baik terhadap pendakwah bebas itu.
“Banyak program bantuan dan kebajikan terpaksa dikurangkan kerana kekangan kewangan. Namun dengan izin Allah, kami tetap bertahan hasil doa, sokongan dan bantuan semua pihak yang ikhlas menyokong perjuangan ini.
“Kami ingin merakamkan setinggi-tinggi ucapan terima kasih kepada semua yang tidak putus memberi semangat, doa dan kepercayaan sepanjang tempoh tersebut.
“Semoga Allah SWT merahmati dan membalas kebaikan tuan-tuan dan puan-puan dengan ganjaran yang besar,” katanya. – MalaysiaGazette
















