PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menunaikan solat Jumaat bersama jemaah di Surau Jannatul Firdaus, Perumahan Penjawat Awam Malaysia (PPAM) Seruling, Presint 5 di sini hari ini.
Beliau yang tiba pukul 1.10 tengah hari itu disambut jawatankuasa surau.
Anwar bersama jemaah kemudian turut mendengar khutbah Jumaat bertajuk ‘Masjid Nadi Penyatuan Ummah’ disampaikan Ustaz Ahmad Jalaluddin Al-Islami Mohshin.
Solat Jumaat kemudian diimamkan oleh Ustaz Muhamad Nabil yang disertai lebih 500 jemaah.
Isi khutbah antara lain memaklumkan masjid bukan sekadar bangunan tetapi simbol utama kesatuan umat Islam yang merangkumi pusat ibadah, ilmu dan perpaduan yang menyatukan pelbagai latar belakang umat dengan ikatan akidah Islam.
Menurutnya, masjid ialah tempat yang dicintai Allah kerana padanya terdapat keberkatan, ilmu dan perpaduan umat.
“Pentadbir masjid dan masyarakat perlu saling bekerjasama mengimarahkan masjid dengan sebaiknya bagi memastikan peranan masjid sebagai pusat kehidupan dan kekuatan umat Islam,” katanya.
Selesai solat, Anwar turut meluangkan masa beramah mesra dan bergambar bersama jemaah yang hadir sebelum beredar meninggalkan masjid. – MalaysiaGazette
















