Prof. Dr. Rozaimi Ramle.

KUALA LUMPUR – Rektor Universiti Islam Antarabangsa Tuanku Syed Sirajuddin (UniSIRAJ), Prof. Dr. Rozaimi Ramle berpandangan peraturan rotan di sekolah perlu digubal dan diberi penambahbaikan.

Menurut beliau, terdapat beberapa perkara dalam peraturan merotan di sekolah yang menimbulkan pertikaian oleh banyak pihak kerana dianggap terdapat unsur tidak adil dalam pelaksanaannya.

Antaranya, kata beliau yang juga pensyarah Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) berkenaan hukuman rotan yang tidak boleh dilaksanakan terhadap pelajar perempuan tapi boleh dikenakan untuk pelajar lelaki.

Selain itu, hukuman rotan juga perlu dilaksanakan oleh guru besar atau orang yang diberi kuasa oleh guru besar dengan hukuman rotan di khalayak sama ada ketika perhimpunan atau mana-mana bilik yang berlangsung proses pengajaran dan pembelajaran adalah dilarang.

Ujarnya, pekeliling itu sudah wujud puluhan tahun lalu iaitu ketika Menteri atau Timbalan Menteri Pendidikan sudah bersilih ganti sama ada daripada kerajaan Barisan Nasional (BN); Perikatan Nasional (PN) atau Pakatan Harapan (PH).

“Saya masih mencari apakah rasionalnya dibezakan antara pelajar lelaki dan perempuan dalam peraturan rotan yang ditetapkan oleh KPM ini.

“Jika bimbang cedera, kenapa pelajar lelaki dibolehkan rotan? Atau adakah data semasa hanya menunjukkan pelajar lelaki saja yang langgar peraturan?” kataya menerusi laman sosial Facebook hari ini.

Tambah Rozaimi, hukuman merotan di khalayak ramai seperti di hadapan kelas juga adalah salah satu bentuk mendidik dan sudah dilaksanakan guru-guru sejak dahulu lagi.

Katanya, ia menjadi pengajaran agar pelajar lain tidak mengulangi kesalahan sama yang dilakukan.

“Memukul yang tidak mencederakan ada disebutkan dalam hadis. Namun para ulamak hadis mensyarahkan ia dalam rangka ta’dib iaitu proses mendidik bukannya mencederakan.

“Rotan untuk didikan, bukannya disebabkan rasa geram dan amarah,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut memperbetulkan tanggapan sesetengah pihak yang mendakwa hukuman rotan di sekolah sudah dimansuhkan.

Sedangkan hukuman itu masih boleh dilaksanakan oleh guru besar atau guru yang diberikan kuasa, tertakluk kepada garis panduan yang ketat seperti yang dinyatakan dalam Peraturan-peraturan Pelajaran (Disiplin Sekolah) 1959.

Bezanya, jelas beliau, ibu bapa dahulu tidak seperti ibu bapa generasi sekarang yang `rajin’ membuat laporan polis terhadap guru yang mengambil tindakan kepada murid-murid.

“Sekiranya ibu bapa dahulu jenis manja dan celik undang-undang, berapa ramai guru-guru yang diambil tindakan,” katanya.

Sementara itu, tambah Rozaimi, masyarakat perlu mengakui proses mendidik bermula dari rumah iaitu tempat utama anak-anak bersama ibu bapa manakala sekolah merupakan tempat kedua kepada anak-anak. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast