KUALA LUMPUR – Polis mengesahkan seorang pelajar Universiti Malaya (UM) maut selepas terjatuh dari kediaman kolej terbabit, di sini, petang tadi.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat berkata, mangsa merupakan seorang lelaki berusia 22 tahun.
“Kejadian dipercayai berlaku sekitar jam 3.15 petang namun siasatan masih dijalankan dan tidak tahu mangsa jatuh dari tingkat berapa kerana tiada saksi yang nampak ketika itu.
“Mangsa kemudian dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaysia (PPUM) dan disahkan meninggall dunia pada jam 4.25 petang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Tambah beliau, polis juga masih berada di lokasi kejadian dan proses bedah siasat akan dijalankan malam ini oleh pihak Patalogi PPUM bagi mengetahui punca kejadian.
“Kita minta orang ramai beri ruang pada polis menjalankan siasatan dan sebarang maklumat lanjut berkaitan kes akan dimaklumkan kemudian,” jelasnya.
Terdahulu, UM dalam kenyataan mengesahkan seorang pelajarnya maut akibat parah selepas terjatuh dari tingkat tiga asrama kediamannya di Kolej ke-13.
Pihak universiti itu juga memaklumkan punca kejadian masih dalam siasatan pihak brkuasa, dan pihaknya pada masa sama memberikan kerjasama penuh bagi membantu siasatan kes terbabit. – MalaysiaGazette
















