Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Seorang doktor pakar kanak-kanak, Dr. Syed Jefrizal Syed Jamal mencadangkan sistem pendidikan negara dirombak semula dengan mengutamakan agama, sahsiah dan nilai kerohanian.

Selain itu, beliau turut menggesa supaya guru-guru diberi peluang penuh untuk memastikan disiplin dalam kalangan pelajar tanpa campur tangan sesiapa pun selagi tiada elemen penderaan atau kecacatan fizikal serta mental.

Dalam masa sama, Dr. Syed Jefrizal turut mencadangkan supaya peperiksaan utama seperti Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dikembalikan semula kerana ia dapat memastikan anak-anak akan lebih fokus, manakala guru-guru mempunyai tanda aras keupayaan murid-murid.

“Saya bukan ahli politik, hanya tulisan ikhlas dari seorang rakyat Malaysia biasa, seorang pakar kanak-kanak, seorang ayah yang runsingkan masa depan anak-anak di Malaysia.

“Seperti kita maklum, berlaku insiden-insiden yang mendukacitakan di kalangan pelajar pelajar sekolah kita kebelakangan ini.

“Ini memberi gambaran ada yang tidak kena dengan sistem pendidikan kita, ada yang tidak kena dengan psychososial anak-anak kita, ada yang tidak kena dengan interaksi pentadbir – guru – pelajar di tanah vair yang kita cintai,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau.

Sementara itu, Dr. Syed Jefrizal turut berpandangan Kementerian Pendidikan (KPM) wajar diterajui individu yang berwibawa dan mempunyai pelan jelas demi kecemerlangan pendidikan negara.

Selain itu, jelasnya, penekanan juga perlu diberikan kepada psiko sosial anak-anak yang mana interaksi guru dan pelajar dianggap seperti keluarga dengan sekolah pula dianggap sebagai rumah kedua.

“Saya amat berharap langkah-langkah konkrit dan tegas dapat diambil untuk menangani isu-isu yang baru berlaku ini.

“Kita hanya ‘meminjam’ negara ini dari anak-anak kita…Malaysia yang bagaimanakah yang kita ingin warisi pada mereka?” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast