KUALA LUMPUR – Pelakon berbakat, Siti Saleha kini bergelar Profesor Adjung Sarjana Muda Seni Persembahan Taylor University.
Pelantikan wanita berusia 35 tahun itu diumumkan menerusi Instagram taylorsperformingarts hari ini.
“Kami ingin mengalu-alukan pelakon Malaysia yang juga pemenang anugerah, Siti Saleha selaku profesor adjung kami!
“Berbekalkan pengalaman dalam industri televisyen dan perfileman, beliau bakal berkongsi pandangan dan menyuntik inspirasi untuk program Sarjana Muda Seni Persembahan kami.
“Selamat datang, Profesor Adjung Siti Saleha!” tulisnya.
Berita gembira itu turut dikongsi suami pelakon tersebut, Joshua Fitton menerusi satu hantaran di Instagram.
Pada 25 September 2024, Siti Saleha menang anugerah Bintang Asia Terbaik (Outstanding Asian Star) pada Anugerah Drama Antarabangsa Seoul 2024 yang diadakan di Korea Selatan atas lakonannya dalam SeOfis.
Aktres berkenaan menewaskan lima lagi pesaing termasuk barisan pelakon dari Korea Selatan, Indonesia, Filipina, Thailand dan Singapura. – MalaysiaGazette
















