KUALA LUMPUR – Jenazah pelajar Universiti Malaya (UM) yang meninggal dunia selepas terjatuh dari tingkat tiga kediamannya semalam, Ahmad Arif Zawir Mohd Ali, selesai disolatkan sekitar jam 9.50 pagi tadi.
Solat jenazah telah diadakan di Surau Ad-Deeniah, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan dihadiri rakan-rakan, ahli keluarga serta pensyarah yang hadir bagi memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarham.
Ahmad Arif Zawir merupakan pelajar tahun akhir Jabatan Fiqh Usul dan Sains Gunaan, Akademi Pengajian Islam UM.

Selesai disolatkan, jenazah Allahyarham dibawa ke Johor untuk disemadikan.
Difahamkan, jenazah akan disolatkan sekali lagi di Surau Masjid Taman Rinting, Masai sebelum dikebumikan petang ini.
Terdahulu, media melaporkan bahawa Allahyarham Ahmad Arif Zawir dilaporkan meninggal dunia selepas terjatuh dari tingkat tiga kediamannya di Universiti Malaya, Kuala Lumpur, semalam.
Pihak universiti dalam kenyataan ringkas turut menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham dan memohon orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian tersebut. – MalaysiaGazette















