KUALA LUMPUR – Program Pengalaman Homestay Malaysia (PPHM) anjuran Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melancarkan Destinasi Pelancongan Berasaskan Komuniti (CoBT) di Kampung Bambangan, Batu Sapi, Sandakan, Sabah.
Kampung Bambangan merupakan kluster pertama PPHM di Sandakan, menawarkan pengalaman unik kepada pelancong untuk menyelami gaya hidup masyarakat setempat.
Antara tarikan utama termasuklah aktiviti berkelah di Jeti Lagenda, lawatan ke perusahaan ketam lembut, aktiviti memancing di rumah pancing, dan pengalaman River Cruise yang menyusuri keindahan paya bakau Hutan Simpan Kabili-Sepilok.
Lokasinya yang berdekatan dengan Sepilok, Rainforest Discovery Centre dan Taman Memorial Sandakan menjadikan destinasi ini sebahagian daripada pakej pelancongan lengkap di Sandakan.
Timbalan Menteri, Datuk Khairul Firdaus yang merasmikan program ini berkata, kesediaan penduduk menerima pelancong membuktikan komitmen masyarakat tempatan dalam memupuk semangat hospitaliti, kekitaan dan keterangkuman sosial yang menjadi teras kepada pelancongan berasaskan komuniti.
Sehingga Ogos 2025, Sabah mencatatkan rekod pendapatan sebanyak RM13.1 juta, dengan jumlah kehadiran pelancong seramai 161,318 orang iaitu 115,069 orang pelancong domestik dan 46,249 orang pelancong antarabangsa.
Pada tahun 2024, Sabah merekodkan sebanyak RM15.1 juta pendapatan melalui PPHM dengan kehadiran jumlah kehadiran pelancong seramai 202,053 orang terdiri daripada 135,542 orang pelancong domestik dan 66,511 orang pelancong antarabangsa.
Sabah menempatkan 39 kluster homestay, 135 buah kampung, 33 buah kampungstay, 525 orang peserta dan 7 buah koperasi aktif yang menjadi penggerak utama kepada ekonomi komuniti pelancongan di Sabah. – MalaysiaGazette















