GEORGE TOWN – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menyuarakan kebimbangan serius terhadap penjualan mercun di kawasan Little India di sini, yang sesak sempena musim perayaan.
Presidennya, Mohideen Abdul Kader berkata, kawasan itu dipenuhi gerai dan kanopi dengan ruang sangat terhad, sekali gus mewujudkan ancaman kebakaran yang tinggi.
“Kebanyakan gerai tidak dilengkapi kemudahan keselamatan asas seperti alat pemadam api, ruang simpanan bahan mudah terbakar yang selamat dan langkah pencegahan kebakaran yang sepatutnya.
“Satu percikan api di tempat sesak seperti itu boleh mencetuskan kebakaran besar serta membahayakan nyawa dan premis perniagaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Justeru CAP menggesa pihak berkaitan termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) melakukan pemeriksaan segera di kawasan tersebut dan mengambil tindakan sebelum sebarang kejadian tidak diingini berlaku.
“Penjualan mercun hanya boleh dijalankan oleh kedai berlesen yang mematuhi peraturan keselamatan, manakala pihak berkuasa tempatan perlu menghentikan aktiviti penjualan haram bagi memastikan keselamatan awam.
“Mencegah lebih baik daripada berlakunya bencana,” katanya. – MalaysiaGazette















