Oleh: Sr Ts. Dr. Mohd Asrul Hassin
TRAGEDI pendaki yang meninggal dunia di Gunung Liang, baru-baru ini, sekali lagi menyentap hati komuniti rekreasi gunung tanah air. Apa yang seharusnya menjadi pengalaman mendekatkan diri dengan keindahan alam bertukar menjadi kisah duka yang menuntut renungan mendalam. Kejadian ini bukan sekadar berita kehilangan, tetapi satu peringatan bahawa pendakian bukan hanya tentang menawan puncak, tetapi tentang perjalanan — persediaan, keselamatan, dan tanggungjawab bersama.
Gunung tidak pernah lalai, kita yang leka
Gunung Liang, dengan ketinggian mencecah 1,933 meter, bukanlah gunung yang ekstrem dalam kalangan pendaki berpengalaman. Namun, faktor cuaca di Gunung Liang yang tidak menentu, suhu yang sejuk, tahap kecergasan individu, serta kekurangan persediaan boleh mengubah aktiviti santai menjadi insiden berisiko tinggi. Dalam banyak kes, faktor manusia menjadi penyumbang utama – keletihan, dehidrasi, hipotermia, atau kesilapan membuat keputusan ketika kecemasan.
Menurut Buku Rekreasi Mendaki Gunung di Semenanjung Malaysia (Abdullah Mohamad Said & Mohd Asrul Hassin, 2021), cabaran sebenar pendakian bukan pada curamnya lereng atau tinggi puncak, tetapi pada sejauh mana pendaki memahami batas kemampuan diri dan menghormati undang-undang alam. Gunung tidak menolak manusia, tetapi manusialah yang sering melupakan peraturan gunung.
Antara disiplin dan persediaan
Aktiviti mendaki gunung kini menjadi gaya hidup popular, namun peningkatan minat tidak seiring dengan kesedaran keselamatan. Oleh itu, langkah keselamatan bukan pilihan — ia wajib.
1. Jurupandu dan Permit Rasmi: Pendakian di kawasan Hutan Simpan Kekal wajib diiringi oleh malim gunung bertauliah sebagaimana digariskan oleh Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia. Jurupandu bukan sekadar penunjuk arah, tetapi penjaga keselamatan, pengatur masa, dan penghubung kecemasan.
2. Persediaan Fizikal dan Mental: Latihan kecergasan dan persediaan mental penting untuk menghadapi cuaca ekstrem dan laluan mencabar.
3. Penilaian Risiko dan Cuaca: Ramalan cuaca mesti disemak sebelum pendakian. Jika cuaca tidak mengizinkan, undur diri adalah tanda bijak.
4. Peralatan Keselamatan: Kit pertolongan cemas, lampu kepala, makanan berkarbohidrat tinggi, pakaian tahan hujan dan selimut tahan sejuk serta alat komunikasi wajib dibawa. “Mendaki bukan soal menakluk, tetapi soal memahami. Alam bukan untuk dikuasai, tetapi untuk dihormati”.
Ketika Kecemasan Melanda: Bertindak dengan Ilmu, Bukan Panik. Antara langkah yang perlu diambil semasa kecemasan adalah seperti berikut :-
1. Tidak panik
2. Nilai keadaan mangsa – periksa pernafasan dan nadi.
3. Lindungi mangsa daripada cuaca.
4. Hubungi pihak berkuasa segera.
5. Kekal tenang dan beri maklumat tepat kepada pasukan penyelamat.
Persediaan Awal: Kunci Keselamatan. Pendaki perlu menyediakan Rancangan Perjalanan Pendakian (Trip Plan), pemeriksaan kesihatan, dan bekalan mencukupi. Pemeriksaan kesihatan amat penting bagi mereka yang mempunyai penyakit kronik atau
berumur lebih 40 tahun.
Menghormati gunung falsafah rekreasi bertanggungjawab Gunung bukan pentas untuk memburu pencapaian, tetapi ruang mendidik diri tentang kerendahan hati, disiplin dan kebersamaan. Etika mendaki termasuk tidak meninggalkan sampah, tidak merosakkan flora dan fauna, serta menghormati alam sekitar. Puncak Bukan Segalanya
Tragedi di Gunung Liang adalah peringatan bahawa setiap pendakian menuntut ilmu, disiplin dan persediaan. Puncak bukan destinasi akhir; keselamatan dan kebersamaan adalah kemenangan sebenar. Sebagaimana ditulis dalam Rekreasi Mendaki Gunung di Semenanjung Malaysia: “Mendaki bukan soal menakluk, tetapi soal memahami. Alam bukan untuk dikuasai, tetapi untuk dihormati.”
Beliau adalah Pensyarah Kanan Fakulti Alam Bina, UiTM Cawangan Perak dan penulis buku Rekreasi Gunung di Semenanjung Malaysia
















