JOHOR BAHRU – Johor Darul Ta’zim (JDT) menundukkan kelab China, Chengdu Rongcheng 2-0 pada aksi Kumpulan A Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) di Stadium Phoenix Hill, Chengdu, malam ini.
Kemenangan tersebut memberikan skuad Harimau Selatan tersebut meraih tiga mata berharga dalam babak mencetuskan itu.
Skuad itu membuka jaringan seawal minit kelima menerusi Oscar Arribas.
Tersentak dengan gol berkenaan, tuan rumah dilihat mula bangkit mengatur asakan ke gawang JDT dalam usaha menyamakan kedudukan.
Namun, benteng pelawat diterajui Eddy Israfilov berjaya mengekang asakan-asakan bertali arus skuad The Panda itu hingga tamat babak pertama.
Babak kedua menyaksikan kedua-dua pasukan semakin menggandakan asakan bagi menambah jaringan.
Namun tuah nyata berpihak kepada JDT apabila Nacho Méndez menjaringkan gol kedua pelawat pada minit ke-62.
Penghujung perlawanan menyaksikan skuad Harimau Selatan itu semakin hebat mengasak ke gawang tuan rumah bagi meledak jaringan tambahan.
Bagaimanapun, tiada jaringan berjaya dihasilkan bagi menyaksikan kedudukan 2-0 berpihak kepada pelawat bagi membawa pulang tiga mata berharga.
Kemenangan itu menyaksikan JDT melonjak pada kedudukan keempat dengan empat mata hasil satu kemenangan, seri sekali dan tewas sekali setelah mengharungi tiga perlawanan setakat ini.- MalaysiaGazette
Caption gambar: JDT menundukkan kelab China, Chengdu Rongcheng 2-0 pada aksi Kumpulan A Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) di Stadium Phoenix Hill, Chengdu, malam ini. – Foto ihsan Johor Southern Tigers
















