Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Biro Pendidikan Mahasiswa Angkatan Muda Keadilan (AMK) mengemukakan enam tuntutan utama dalam menangani isu buli di sekolah kepada Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek untuk dilaksanakan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Menurut Timbalannya, Haikal Hatta, enam langkah yang perlu diberi tumpuan melalui kempen #KitaJagaSekolahKita itu dibahagikan kepada tiga teras penting iaitu pencegahan, pemulihan dan pemantauan.

Katanya, KPM perlu melakukan latihan pendidikan berasaskan kesedaran trauma kepada guru dan warden asrama melalui pendekatan memahami emosi dan trauma pelajar, bukan sekadar menghukum.

“KPM juga katanya, perlu membuat modul “buli bermula di rumah” untuk ibu bapa iaitu pendidikan nilai dan empati bermula dalam keluarga dan perlu digerakkan melalui Persatuan Ibu Bapa Guru (PIBG) dan komuniti.

“Perlu dilakukan juga reformasi kurikulum pendidikan sivik, moral dan empati yang mesti diajar secara praktikal dan menjadi budaya harian sekolah,” katanya kepada media selepas mengadakan pertemuan bersama Fadhlina berhubung perkara berkenaan di KPM di sini, hari ini.

Haikal berkata, KPM juga perlu melaksanakan sistem sokongan psikososial menyeluruh termasuk menyedia kaunselor, pegawai psikologi bergerak dan saluran aduan yang selamat untuk mangsa buli.

Perkara lain yang wajar dibuat adalah pelan intervensi anti-buli yang dibangunkan bersama pakar, ibu bapa, guru, NGO dan pelajar agar berkesan dan berperikemanusiaan.

Tambahnya, KPM juga perlun membuat pemantauan bebas dan telus di sekolah yang melibatkan PIBG, alumni, polis komuniti dan NGO, termasuk pemasangan kamera litar tertutp (CCTV) di kawasan berisiko dan penubuhan unit khas siasatan buli.

Dalam pada itu beliau berkata, isu buli di sekolah bukanlah perkara baharu, namun apa yang membimbangkan ialah sikap masyarakat yang hanya lantang bersuara ketika kes berlaku, sebelum akhirnya kembali senyap seolah-olah tiada apa-apa yang berubah.

Katanya, gejala buli tidak wajar dilihat sekadar masalah disiplin pelajar semata-mata, sebaliknya mencerminkan kegagalan sistem pendidikan yang memerlukan perhatian menyeluruh.

“Isu buli bukan hanya tentang pelajar nakal atau pelajar mangsa. Ia adalah cerminan kepada ekosistem pendidikan kita.

“Sistem yang perlu dibina semula dengan perhatian, pembaikan dan kasih sayang daripada semua pihak,” ujarnya.

Haikal berkata, kempen #KitaJagaSekolahKita bukan sekadar slogan atau program sementara, sebaliknya, adalah satu gerakan hati yang menyeru masyarakat untuk melihat keselamatan pelajar sebagai tanggungjawab bersama.

Beliau menegaskan, keselamatan pelajar di sekolah adalah amanah yang perlu dipikul bersama  daripada ibu bapa, guru, pemandu bas, pengawal keselamatan, pengusaha kantin, tukang kebun, tukang cuci dan murid-murid itu sendiri.

“Apabila semua pihak berganding bahu, barulah sekolah menjadi tempat yang benar-benar selamat untuk belajar, membesar dan bermimpi,” katanya. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast