Dua kereta yang dicuri di Seksyen 3, Bandar Baru Bangi, semalam. Foto PDRM.

KUALA LUMPUR – Dua lelaki warga tempatan dicekup dalam tempoh 14 jam selepas terlibat dengan kes pecah rumah dan melarikan dua buah kenderaan di Seksyen 3, Bandar Baru Bangi, semalam.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, bertindak atas maklumat, kedua-dua suspek berusia 29 dan 32 tahun berjaya ditahan di kawasan Cheras.

Katanya, tangkapan dibuat oleh sepasukan polis dari Cawangan D4, Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kajang sekitar jam 6 petang hingga 8.30 malam.

Terdahulu, menurut beliau,  pihaknya telah menerima laporan pada jam 7.45 pagi berkenaan dengan satu kejadian pecah rumah dan suspek telah melarikan dua buah kenderaan mangsa.

Mangsa merupakan pesara universiti awam berusia 62 tahun dan  semasa kejadian isterinya sedang tidur.

“Kedua-dua suspek telah melarikan dua kenderaan jenis Mercedes Benz dan Perodua Kelisa yang diparkir di dalam kawasan rumah dan satu beg tangan mengandungi dokumen peribadi isteri pengadu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Antara barangan kes yang dirampas dalam kes pecah rumah dan melarikan dua buah kenderaan di Seksyen 3, Bandar Baru Bangi, semalam. Foto PDRM.

Susulan tangkapan itu, katanya, polis berjaya merampas barangan yang dicuri termasuk kereta, beg tangan yang turut mengandungi seutas jam tangan, dan seutas rantai emas.

Turut dirampas dua buah telefon bimbit, satu dompet, satu unit gunting, serangkai kunci rumah, dua keping papan plat kenderaan bersama satu cukai jalan kenderaan.

Naazron berkata, semakan yang dijalankan mendapati kedua-dua suspek mempunyai pelbagai rekod jenayah lampau membabitkan 13 kes jenayah dan sembilan kes dadah.

“Hasil ujian awal air kencing mendapati kedua-duanya positif dadah jenis Methamphetamine,” ujarnya.

Kedua-dua suspek telah direman tiga hari sehingga 23 Oktober bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan Seksyen 379A Kanun Keseksaan  serta Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian ini agar menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Sharulhasram Ramli di talian 017-2530380 bagi membantu siasatan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast