PUTRAJAYA – Datuk Seri Najib Razak menegaskan di Mahkamah Tinggi hari ini, beliau tidak pernah menuntut sebarang bentuk kekebalan sebaliknya hanya mahu kesaksamaan dan hak dilindungi di bawah undang-undang, sama seperti individu lain yang dibicarakan atas pertuduhan jenayah.
Menurutnya, keputusan hakim bicara dalam kes penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang sedang dihadapinya akan memberi kesan yang melangkaui kedudukan beliau sendiri.
Bekas Perdana Menteri berkata, keputusan itu akan menentukan bentuk prinsip keadilan yang diamalkan di negara ini.
“Yang Arif, saya mengambil maklum peringatan mantan Presiden Mahkamah Agung, Tun Suffian Hashim bahawa apabila mahkamah berkompromi untuk memenuhi kehendak pihak berkuasa, mahkamah akan hilang keyakinan rakyat yang sepatutnya dilindungi.
“Sejarah telah membuktikan kebenaran peringatan tersebut,” ujar beliau ketika membacakan kata-kata pengantar sebelum pasukan pembelaan memulakan penghujahan lisan berkaitan kes penyelewengan dana 1MDB hari ini.

Najib sedang dibicarakan atas empat pertuduhan penyelewengan RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 tuduhan pengubahan wang haram.
Bekas Perdana Menteri selanjutnya menegaskan, beliau tidak mungkin dapat menyediakan pembelaan jika pertuduhan yang dikenakan tidak tetap dan berubah-ubah.
“Adakah saya dipertuduh atas satu perbuatan atau beberapa? Atas satu keputusan atau beberapa keputusan? Atas satu peranan, atau semua peranan yang pernah saya pegang? Pertuduhan ini mengelirukan serta memudaratkan.
“Jika pendakwaan yang bersifat `berganda’ sebegini dibenarkan, maka tiada sesiapa pun—sama ada seorang Perdana Menteri atau rakyat biasa akan dapat memastikan apakah sebenarnya pertuduhan yang perlu dijawab olehnya. Dan tanpa kepastian itu, mana mungkin wujudnya keadilan,” ujar beliau.
Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah kini mendengar penghujahan lisan pihak pembelaan yang disampaikan oleh peguam Wan Azwan Aiman Wan Fakhruddin.
Mengikut pertuduhan, bekas Ahli Parlimen Pekan itu menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan RM2.28 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.
Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di AmIslamic Bank Berhad, Bukit Ceylon di sini antara 24 Februari 2011 dan 19 Disember 2014 manakala bagi pertuduhan pengubahan haram pula antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013 di lokasi sama. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
Najib pulangkan AS$620 juta selepas dapat kelulusan rasmi BNM
















