JOHOR BAHRU – Ibu kepada seorang daripada dua kanak-kanak yang ditemui lemas pagi tadi mendakwa, Muhammad Khalish Rayqarl Hasimbudi, 10, ceria sebelum tragedi meragut nyawanya itu.
Norazmirah Azwab, 42, berkata, anak sulung daripada dua beradik itu semalam meminta izinnya sebelum keluar memancing ikan bersama-sama rakan.
“Sebelum ini dia nampak seronok potong rambut, kerap melihat dirinya di cermin sambil membelai rambutnya.
“Sebelum keluar rumah semalam, dia ada beritahu mahu memancing dan membawa sekali roti untuk dijadikan umpan.
“Selalunya dia akan teman bapanya memancing dan biasa pergi ke tasik yang dalam airnya hanya paras lutut, saya tidak pasti mengapa pada kali ini dia ke lokasi berbeza pula,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di Unit Perubatan Forensik Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini hari ini.
Dalam kejadian pukul 9.40 malam tadi, Muhammad Khalish Rayqarl dan Muhammad Rayyan Iskandar Mohamed Hafizi, 9, ditemui lemas di Tasik Menawan, Taman Pelangi Indah, di sini.
Kedua-dua mayat kanak-kanak berkenaan ditemui pukul 2.28 pagi tadi di bawah batu pada kedalaman tiga meter kira-kira lima meter dari tebing tasik.
Bercerita lanjut, Norazmirah berkata, dia juga mengenali Muhammad Rayyan yang merupakan rakan arwah anaknya.
“Mereka memang rapat kerana belajar di sekolah sama, tidak sangka mereka pulang kepada pencipta bersama-sama juga. Kehilangannya amat dirasai kami,” katanya.
Sementara itu, suasana pilu menyelubungi Jabatan Perubatan Forensik HSI selepas ahli keluarga dan rakan berkumpul bagi memberi penghormatan terakhir kepada keluarga kedua-dua mangsa lemas.
Muhammad Khalish Rayqarl akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Ulu Tebrau manakala Muhammad Rayyan dikebumi di Tanah Perkuburan Islam Ulu Tiram di sini.- MalaysiaGazette
















