Suspek (depan) dibawa ke Mahkamah Balik Pulau semalam bagi mendapatkan perintah lanjutan reman.

BALIK PULAU – Mahkamah Majistret, di sini, hari ini membenarkan sambungan reman selama tiga hari terhadap seorang fasilitator sambilan yang disyaki mencabul empat murid lelaki ketika kem motivasi di Kampung Genting, baru-baru ini.

Perintah itu dikeluarkan oleh Majistret Chia Huey Thing menjadikan tempoh tahanan reman suspek berusia 33 tahun itu dilanjutkan sehingga 25 Oktober ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Suspek sebelum ini direman selama tujuh hari bermula 16 Oktober lalu bagi membantu siasatan sama.

Media sebelum ini melaporkan, fasilitator sambilan sebuah akademi ditahan pada 15 Oktober lalu polis selepas disyaki melakukan amang seksual terhadap empat murid lelaki berusia 12 tahun sebuah pusat latihan di sini.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Asisten Komisioner Sazalee Adam berkata, kejadian berlaku pada jam 4.30 pagi di bilik asrama lelaki pusat latihan berkenaan, pada 12 Oktober lalu.

Katanya, suspek berusia 33 tahun itu ditahan di rumahnya di Sungai Petani, Kedah semalam selepas laporan dibuat guru besar pada hari sama.

Difahamkan, empat murid lelaki berusia 12 tahun dari sebuah sekolah di daerah Kerian, Perak, mendakwa dicabul ketika sedang tidur di dorm kem motivasi yang berlangsung di Kampung Genting itu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast