Mangsa ditemui pada jam 7.43 pagi dan berada dalam keadaan lemah - Foto Ihsan Polis Tawau

KUALA LUMPUR –  Misteri kehilangan seorang lelaki selama enam hari di hutan Batu 32, Kalabakan, Sabah berakhir dengan kelegaan apabila mangsa ditemui selamat pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, mangsa, Khairul Saharin, 31, ditemui pada jam 7.43 pagi dan berada dalam keadaan lemah namun tidak mengalami sebarang kecederaan serius.

“Dia kemudian menerima rawatan di Klinik Kesihatan Kalabakan dan dibenarkan pulang kepada keluarganya,” katanya dalam kenyataan.

Jelasnya, operasi mencari dan menyelamat melibatkan pelbagai agensi termasuk Balai Polis Kalabakan, Tiger Platoon Batalion 14 Pasukan Gerakan Am Tawau, Unit Anjing Pengesan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Lahad Datu.

Operasi turut dibantu Unit Dron Pasukan Gerakan Udara, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Renjer Komuniti, Bomba Sukarelawan dan orang awam.

Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati ketika menjalankan aktiviti di kawasan hutan serta sentiasa bergerak dalam kumpulan bagi mengelak kejadian tersesat atau risiko keselamatan lain.

Media sebelum ini melaporkan,  Khairul dilaporkan hilang sejak 14 Oktober lalu ketika keluar memancing dan mencari hasil hutan bersama sepupunya sebelum berpisah ketika dalam perjalanan pulang ke tapak perkhemahan.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast