Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak hadir bagi hujahan saman kes SRC International Sdn Bhd terhadapnya, di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 24 SEPTEMBER 2025 (GAMBAR FAIL)

PUTRAJAYA – Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu, Datuk Seri Najib Razak tidak pernah menjejakkan kaki ke AmIslamic Bank di ibu negara bagi mengaitkan beliau dengan empat pertuduhan salah guna kuasa melibatkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Peguam Wan Azwan Aiman Wan Fakhruddin berhujah, pihak pendakwaan tidak mengemukakan bukti bahawa bekas Perdana Menteri mengunjungi bank berkenaan atau menggunakan pengaruhnya di bank tersebut.

Beliau berhujah, semua bukti itu tidak dikemukakan di mahkamah meskipun lokasi yang kononnya salah laku dilakukan, bertempat di AmIslamic Bank Berhad, Cawangan Jalan Raja Chulan.

“Mana buktinya bahawa beliau pernah berada di AmIslamic Bank untuk menyalahgunakan kedudukan rasmi yang membolehkan mahkamah mensabitkannya atas pertuduhan itu?

“Kami menghujahkan pertuduhan yang dikemukakan terhadap Najib adalah cacat, mengandungi pendua (duplicate) tersembunyi dan tetap diteruskan meskipun ia kabur dan mengelirukan,” hujahnya.

Peguam mewakili bekas Perdana Menteri Najib Razak, Tan Sri Mohamed Shafee Abdullah hadir ke mahkamah pada hari pertama hujahan akhir kes pembelaan bagi pertuduhan penyelewengan membabitkan RM2.3 bilion dana 1MDB di Istana Kehakiman Putrajaya. Foto MUHAIMIN MARWAN, 21 OKTOBER 2025 (GAMBAR FAIL)

Wan Azwan Aiman berhujah pada akhir kes pembelaan mewakili Najib yang menghadapi empat pertuduhan penyelewengan RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 tuduhan pengubahan wang haram.

Beliau selanjutnya menghujahkan, pembelaan bersetuju bahawa pertuduhan harus mengandungi masa dan tempat serta menyatakan kesalahan yang didakwa terhadap tertuduh.

Namun demikian, hujah beliau, setiap pertuduhan mengandungi tarikh, lokasi dan kesalahan berganda yang menurut takrifan mahkamah di negara ini adalah tidak boleh dikemukakan atau selamat untuk dikekalkan.

“Dengan mengambil kira pertuduhan pertama misalnya, bagaimana mungkin lima tarikh, lima tindakan, empat lokasi dan tiga kapasiti rasmi digabungkan menjadi satu pertuduhan dan tidak dianggap berganda.

“Daripada rekod, terdapat terlalu banyak pendua dalam pertuduhan itu telah dirangka, apa sebenarnya sedang dibicarakan di sini? Pertuduhan sebenar yang difailkan terhadap Datuk Seri Najib atau perbicaraan terhadap dirinya sendiri? hujahnya.

Oleh yang demikian, pembelaan menghujahkan, pertuduhan terhadap bekas Perdana Menteri sewajarnya digugurkan.

Penghujahan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung petang ini.

Mengikut pertuduhan, bekas Ahli Parlimen Pekan itu menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan RM2.28 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di AmIslamic Bank Berhad, Bukit Ceylon di sini antara 24 Februari 2011 dan 19 Disember 2014 manakala bagi pertuduhan pengubahan haram pula antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013 di lokasi sama. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast