Dua kereta yang terlibat dalam kejadian pokok tumbang di ibu negara petang tadi. Foto JBPM KL

KUALA LUMPUR –  Pemandu lelaki maut manakala seorang wanita cedera dalam kejadian berasingan selepas kereta yang dinaiki mereka dihempap pokok tumbang ekoran ribut dan hujan lebat di ibu negara petang tadi.

Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur (JBPM KL) berkata, mereka menerima beberapa panggilan kecemasa berhubung kejadian itu sekitar jam 4 hingga 5.30 petang.

Kejadian itu menyebabkan empat kenderaan di Jalan Metro Prima, Kepong Baru; Persiaran Dutamas, Taman Duta; dan Jalan Burung Balam, Taman Bukit Maluri terjejas.

Menurutnya, mangsa yang meninggal dunia berusia 40-an, selepas keretanya dihempap pokok di Hartamas Regency, Persiaran Dutamas, dekat sini.

Manakala, seorang wanita berumur 30-an cedera, juga akibat kereta dihempap pokok di Jalan Metro Prima, Kepong.

“Anggota bomba telah digerakkan ke kawasan terlibat bagi menjalankan kerja-kerja penyelamatan, pemotongan pokok serta memastikan keselamatan awam terjamin.

“Pasukan bomba akan terus berada dalam keadaan bersiap siaga bagi menghadapi sebarang kemungkinan berikutan cuaca buruk yang dijangka berterusan dalam tempoh terdekat,” jelasnya.

Kes kematian akibat pokok tumbang ini adalah insiden kedua berlaku selepas kematian pemandu pacuan empat roda di Jalan Batang Kali, Isnin lalu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast