PUTRAJAYA – Keputusan Kerajaan Persekutuan meningkatkan peruntukkan kepada Sabah bukan isu politik, sebaliknya ia satu keperluan pembangunan di negeri itu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sebelum ini kerajaan terdahulu memperuntukkan RM126 juta untuk Sabah.
“Memang sejak Malaysia ditubuhkan, pemberian itu sekitar RM26 juta, ketika kerajaan terdahulu ada negeri yang memohon sekitar RM56 juta pada 2019.
“Pada tahun 2022, menaikkan sekitar RM126 juta, tapi bila saya ambil alih dan berunding dengan jemaah menteri untuk melihat semula maka kita fikirkan wajar dinaikkan.
“Tahun 2023, dinaikkan kepada RM300 juta sebagai peruntukan untuk negeri ini dan tahun 2025, sekali lagi dinaikkan lagi RM600 juta. Itu pun kita sebut sebagai interim,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Anugerah Intergriti, Governas dan Antirasuah (AIGA) 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa (PICC), di sini, hari ini.
Turut hadir, Ketua Setiausaha Negera, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz dan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Aminudin Shari.
Menurut Anwar, beliau telah mengarahkan Ketua Setiausaha Perbendaharaan untuk mengumpulkan semua data yang menunjukkan hasil cukai dari Sabah, iaitu berjumlah RM10 bilion.
“Berapakah belanja yang kita peruntukkan pada tahun 2025 dan unjuran 2026? RM17 bilion. Ini bukan kerana pertimbangan khusus Sabah.
“Ini kerana keperluan kita membina lebuh raya yang belum ada atau belum siap, bekalan air yang masih belum siap (yang) diluluskan tahun 2024 dan insyaAllah siap tahun depan.
“Elektrik… Sabah Elektrik yang dulunya di bawah Kerajaan Persekutuan diserahkan kepada negeri tapi negeri tentunya tidak berupaya untuk menjana pelaburan awal.
“Maka Kerajaan Persekutuan, walaupun diserah kepada negeri, masih membelanjakan sebanyak RM1.2 bilion, bantuan dan juga pinjaman oleh Kerajaan Persekutuan,” jelasnya.

Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata, perkara itu perlu diperjelaskan di Parlimen berikutan Kerajaan tidak mahu menjadi mangsa tohmahan politik picisan yang mempersoalkan peningatan peruntukan khas berkenaan.
Anwar menambah, ia membabitkan soal pengendalian negara berkait urusan ekonomi dan hal berkaitan kepentingan negara yang harus dijaga selain menjamin keamanannya.
“Kalau ada pandangan mengatakan dana untuk pendidikan di Sabah harus ditingkatkan, saya tidak ada masalah.
“Hasil dari Sabah RM10 bilion, belanja untuk Sabah RM17 bilion bagi saya bukan isu. Itu ikut keperluan. Perlis sampai sekarang masih dibantu termasuk dari segi gaji penjawat awam kerana hasilnya sangat terbatas.
“Tetapi tidak wajar untuk beberapa negeri yang dikuasai boleh pembangkang di Semenanjung yang mengatakan ‘kami dianak tiri, kami dizalimi’ kerana kenyataannya berbeza,” ujarnya.
Katanya, Kerajaan Madani juga telah membuktikan peruntukan tambahan untuk Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis dalam beberapa tahun ini, kerana ada keperluan melibatkan bencana banjir yang melanda negeri terbabit.
“Misalnya, bencana banjir di Kelantan memerlukan lonjakan peruntukan dan kita tidak boleh biarkan negeri yang kekurangan terus ketinggalan hanya kerana berbeza pandangan politik. Ini soal keperluan rakyat dan amanah kerajaan,” katanya.
Anwar berkata, pendekatan diambil Kerajaan Madani mencerminkan amalan tadbir urus berintegriti yang mengambil kira keputusan berasaskan nilai dan tanggungjawab moral, serta bukan pengaruh politik.
Beliau juga mengulangi komitmen kerajaan untuk meneruskan rundingan dengan kerajaan Sabah berhubung tuntutan 40 peratus hasil negeri seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Sementara itu, mengulas alasan penghakiman Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu berkait 40 peratus hasil Persekutuan kepada Sabah, Anwar berkata, Kerajaan Persekutuan perlu memenuhi dan melaksanakan janjinya terutama dalam semangat Persekutuan. – MalaysiaGazette
















