GEORGE TOWN – Polis berjaya menumpaskan seorang penjenayah samun ragut yang aktif di negeri ini dan Kedah selepas menahan lelaki itu dalam serbuan di sebuah rumah di Sitiawan, Perak, pada 12 Oktober lalu.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail berkata, hasil tangkapan terhadap suspek berusia 39 tahun itu membawa kepada penyelesaian 11 kes samun ragut di sekitar Pulau Pinang dan tiga lagi di daerah Kulim, Kedah.
“Bertindak atas laporan dan risikan, sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Khas (D9) Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut menahan suspek pada jam 2 pagi, pada 12 Oktober lalu.
“Hasil serbuan kita turut merampas sebuah motosikal yang dipercayai digunakan suspek untuk kegiatan samun,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, modus operandi suspek adalah menunggang motosikal sambil mencari mangsa lelaki yang memakai rantai emas sebelum meragut mereka hingga mendatangkan kecederaan.
“Hasil semakan mendapati suspek mempunyai lapan rekod jenayah manakala enam berkaitan dadah.
“Selain itu, ujian air kencing turut mendapati dia positif dadah jenis methamphetamin dan amfetamin.
“Suspek kini direman selama 10 hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan cedera ketika melakukan rompakan,” katanya. – MalaysiaGazette
















