Anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) melakukan mengeluarkan saman terhadap kenderaan yang tidak mengikut spesifikasi pada Ops khas di Stesen Penguatkuasa JPJ Semenyih. Foto MUHAIMIN MARWAN, 10 MAC 2025. Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan menyelaraskan kadar dan kaedah pelaksanaan kompaun saman bagi kesalahan lalu lintas yang dikeluarkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bermula 1 Januari tahun depan.

Langkah tersebut dibuat susulan perbezaan kadar kompaun dan kaedah pelaksanaan antara kedua-dua agensi penguat kuasa itu yang sebelum ini sering menimbulkan kekeliruan serta persepsi bahawa undang-undang tidak dikuatkuasakan secara seragam.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, Jemaah Menteri pada 17 Oktober lalu memutuskan pendekatan baharu itu akan menggantikan amalan pemberian diskaun saman melalui program atau kempen khas yang dianggap tidak adil kepada individu yang membayar saman lebih awal.

Sebaliknya kata beliau, prinsip baharu “The Less You Delay, The Less You Pay” akan diperkenalkan, di mana kadar kompaun lebih rendah akan dikenakan kepada mereka yang menjelaskan saman dengan segera.

“Struktur pengurangan kompaun yang ditetapkan iaitu dari satu hingga 15 hari pengurangan 50 peratus diberikan, manakala dari 16 hingga 30 hari, pengurangan diberikan sebanyak 33 peratus.

“Bagi mereka yang melengahkan 31 hingga 60 hari, kadar maksimum kompaun akan dikenakan dan bagi yang lewat 61 hari ke atas tindakan mahkamah akan diambil atau disenarai hitamkan,” katanya pada sidang media bersama Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail di Parlimen, hari ini.

Loke berkata, bagaimanapun, prinsip ini tidak terpakai kepada kesalahan tidak boleh dikompaun dan kesalahan serius yang melibatkan risiko keselamatan seperti tiada insurans, tiada Lesen Kenderaan Motor (LKM) serta penggunaan LKM palsu.

Sebagai persediaan awal beliau berkata, kerajaan turut mengumumkan bahawa orang ramai boleh menikmati kadar pengurangan kompaun antara 50 peratus hingga 70 peratus bagi saman JPJ dan PDRM yang boleh dikompaun, bermula dari 1 November hingga 30 Disember ini.

Ujarnya, selepas tempoh itu, prinsip baharu akan dilaksanakan sepenuhnya dan tiada pengurangan akan ditawarkan bagi saman yang tidak dibayar dalam tempoh 60 hari selepas dikeluarkan.

Tambah beliau, orang ramai digalakkan untuk menyemak dan menjelaskan saman melalui portal MySIKAP, aplikasi MyJPJ, MyBayar PDRM serta di semua kaunter atau kiosk JPJ dan saluran pembayaran saman PDRM yang tersedia.

“Kerajaan menyeru semua pengguna jalan raya agar menjelaskan saman tertunggak sebelum 30 Disember 2025 dan menyokong usaha membentuk budaya pemanduan yang lebih bertanggungjawab, berdisiplin dan selamat,” katanya.

Sementara itu, Saifuddin berkata, PDRM berjaya mengutip sebanyak RM249 juta hasil penyelesaian saman trafik bagi tempoh Januari hingga September tahun ini, melibatkan 1.73 juta saman yang diselesaikan menerusi tawaran diskaun sebanyak 50 dan 30 peratus.

Jelas beliau, dalam tempoh empat tahun dari 2022 hingga 2025, jumlah kutipan saman yang berjaya dikumpul PDRM mencecah RM640 juta.

Bagaimana kata beliau, meskipun kutipan itu dilihat memberangsangkan, Jemaah Menteri berpendapat bahawa pendekatan pemberian diskaun secara berterusan memberi kesan sampingan kepada pematuhan undang-undang jalan raya.

“Ramai pengguna kenderaan didapati menunggu tawaran diskaun diumumkan sebelum melunaskan saman, sekali gus menjejaskan keberkesanan penguatkuasaan undang-undang.

“Sehubungan itu, kerajaan telah memutuskan untuk menyeragamkan sistem pembayaran saman pada tarikh berkenaan di mana bayar awal akan diberikan diskaun, manakala bayar lewat perlu dijelaskan pada kadar penuh tanpa sebarang potongan,” katanya.

Tambah beliau, memandangkan terdapat tempoh dua bulan sebelum sistem baharu itu dikuat kuasakan, PDRM akan menawarkan diskaun sehingga 70 peratus bagi semua saman trafik bermula 1 November hingga 30 Disember 2025.

“Langkah ini diambil sebagai usaha mengurangkan jumlah tunggakan saman yang kini dianggarkan mencecah RM6.6 bilion,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast