KLUANG – Enam penumpang dan seorang pemandu cedera selepas bas ekspres dinaiki terlibat kemalangan dengan sebuah lori di Kilometer 78.7 Lebuhraya Utara-Selatan, di sini, malam tadi.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ayer Hitam, Pegawai Bomba Kanan II Mohd Nazrul Yusri Mohd Yusof berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian tersebut pukul 9.10 malam.
Susulan itu katanya, 14 anggota dibantu dua jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan dua Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke tempat kejadian.
“Kebakaran melibatkan sebuah bas ekspres jenis Hino dengan sebuah lori jenis Isuzu lima tan. Terdapat tujuh mangsa lelaki termasuk pemandu bas berusia 23 hingga 48 tahun cedera ringan.
“Semua mangsa tersebut sudah keluar sendiri sebelum pihak bomba tiba. Pemandu lori berusia 35 tahun pula tidak mengalami kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, anggota BBP Ayer Hitam dan BBP Kluang berjaya mengawal kebakaran pukul 12.03 tengah malam.
Video berkenaan kejadian tersebut tular dalam media sosial yang menyaksikan asap menjulang dari kebakaran bas ekspres berkenaan.- MalaysiaGazette
















