BUKIT MERTAJAM – Empat lelaki termasuk dua warga Myanmar mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mengurung secara salah seorang lelaki pada dua minggu lalu.
Tertuduh, dua warga Myanmar, Alam Shobir, 21, dan Mohamad Rashid Hussain, 38, serta dua lelaki tempatan, Muhammad Adib Shaadun Zubir, 33, dan M. Lukman Sawapit, 34, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan secara bersama dihadapan Majistret Roshayati Radellah.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama mengurung seorang lelaki warga Bangladesh berusia 35 tahun secara salah.
Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di hadapan premis BG Speedy Laundry Auto-City, Jalan Perusahaan Juru di sini, jam 7.30 malam, pada 12 Oktober lalu.
Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 342 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Ketika prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Anis Suhada Rosli memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal terhadap semua tertuduh kerana perbuatan mereka menyebabkan ketakutan kepada mangsa.
Bagaimanapun kesemua tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Anas Hakimi Mat@Ahmad memohon mahkamah menjatuhkan hukuman penjara minimum terhadap Alam Shobir, manakala tiga lagi tertuduh dikenakan hukuman berbentuk denda, dengan alasan keempat-empat mereka mempunyai tanggungan serta sumber pendapatan yang terhad.

“Tertuduh pertama, Alam Shobir yang sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak bekerja sebagai tukang sapu dengan pendapatan harian sekitar RM40. Manakala tertuduh kedua, Mohamad Rashid Hussain, seorang buruh binaan bergaji RM80 sehari turut berkahwin dan mempunyai seorang anak.
“Bagi tertuduh ketiga, Muhammad Adib masih bujang dan bekerja sebagai pemandu serta pengawal peribadi dengan pendapatan bulanan kira-kira RM2,000 manakala tertuduh keempat, M. Lukman juga sudah berkahwin, mempunyai tiga anak, bekerja sebagai buruh binaan,” katanya.
Roshayati kemudian menjatuhkan hukuman penjara lima bulan terhadap Alam Shobir bermula dari tarikh tangkap pada 12 Oktober lalu, manakala tiga lagi tertuduh didenda RM2,000 setiap seorang.
Mahkamah turut memerintahkan ketiga-tiga tertuduh dipenjara selama lima bulan bermula hari ini jika gagal membayar denda tersebut.
Sementara itu, di mahkamah sama, Alam Shobir turut diperintah menjalani hukuman penjara empat bulan bermula dari tarikh tangkap dan satu sebatan selepas mengaku bersalah atas pertuduhan tidak memiliki sebarang pas perjalanan yang sah untuk berada di negara ini.
Mengikut pertuduhan, dia didapati melakukan kesalahan itu di Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Pulau Pinang di sini, jam 10.30 pagi, pada 21 Oktober lalu.
Kesalahan itu dilakukan mengikut Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002) yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM10,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya, serta sebatan tidak lebih daripada enam kali, jika sabit kesalahan. – MalaysiaGazette
















