KUALA LUMPUR – Keadaan jalan yang basah selepas hujan dipercayai menjadi punca sebuah kereta e-hailing terbabas melanggar pembahagi besi di Kilometer 28.7 Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) arah Bandar Kinrara, Puchong, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, dalam kejadian jam 10 malam itu, sebuah kereta jenis Perodua Bezza dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menghala ke Bandar Kinrara.

Katanya, hasil siasatan awal mendapati, sebaik tiba di lokasi kejadian, kereta terbabit hilang kawalan dan terbabas lalu melanggar pengahdang besi kiri jalan.

“Akibat kejadian itu, penumpang wanita berusia 19 tahun duduk di sebelah kiri disahkan meninggal dunia dilokasi kejadian kerana  kecederaan di kepala dan anggota badan.

“Manakala penumpang belakang duduk di sebelah kanan iaitu seorang lelaki berusia 21 tahun yang juga abang kepada mangsa mengalami kecederaan dan sedang dirawat di hospital,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu katanya, pemandu e-hailing terbabit turut mengalami kecederaan ringan dan telah mendapatkan rawatan lanjut.

“Berikutan itu, kes sedang disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” jelasnya

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Subang Jaya, Inspektor Mohd Faizul Ahmad Suhaimi di talian 019-4757385. – MalaysiaGazette

Wanita maut, dua lelaki cedera kereta langgar pembahagi jalan

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast