KUALA NERUS – Majoriti graduan Sarjana Muda Sains Gunaan (Nanofizik) dengan Kepujian, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) mencipta kejayaan membanggakan apabila menerima tawaran pekerjaan bergaji lebih RM3,000 sebelum sempat menghadiri Istiadat Konvokesyen UMT ke-23 yang bakal berlangsung pada 26 hingga 29 Oktober ini.

Menariknya, tawaran tersebut bukan datang sebarangan malah dari syarikat-syarikat teknologi, makmal penyelidikan dan institusi berteknologi tinggi yang beroperasi di Lembah Klang, selatan dan utara tanah air melibatkan sektor semikonduktor dan bahan termaju.

Menurut Ketua Program Nanofizik, Prof. Madya Ts. Dr. Lee Oon Jew pencapaian luar biasa ini adalah bukti nyata keberkesanan pendekatan Program Mod 2u2i UMT yang memberi peluang kepada pelajar menjalani pembelajaran berasaskan kerja selama setahun di industri.

“Sepanjang tempoh latihan industri, pelajar bukan sekadar belajar secara teori, tetapi turut membuktikan kemampuan mereka dalam menyelesaikan masalah sebenar di tempat kerja. Ramai antara mereka menerima tawaran bekerja sebelum menamatkan pengajian,” jelas  beliau.

Beliau turut menambah, penglibatan pelajar dalam projek penyelidikan nanoteknologi dan aplikasi fizik turut menjadi faktor utama yang menarik minat majikan.

“Keupayaan pelajar menggabungkan kemahiran teknikal, komunikasi dan penyelesaian masalah menjadikan mereka aset berharga dalam dunia pekerjaan yang semakin berasaskan teknologi tinggi.

Sehingga kini, sebahagian besar graduan telah memulakan kerjaya mereka manakala selebihnya dijangka berkhidmat selepas bergraduat.

Kejayaan ini secara tidak langsung membuktikan keupayaan UMT dalam melahirkan graduan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) yang bukan sahaja kompeten malah menepati keperluan pasaran semasa.

“Kami amat berterima kasih kepada universiti dan para pensyarah yang banyak membimbing serta memberi pendedahan industri sebenar.

Tawaran kerja ini menjadi bukti bahawa ilmu dan kemahiran yang kami pelajari di UMT sangat relevan dengan kehendak
industri,” ujar salah seorang graduan yang kini bekerja di sebuah syarikat semikonduktor di Kulim Hi-Tech Park.

Kejayaan pelajar Nanofizik UMT ini diharap menjadi suntikan semangat kepada pelajar lain dalam bidang STEM selain meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap potensi kerjaya dalam nanosains, semikonduktor dan teknologi masa depan yang semakin berkembang di Malaysia.

UMT terus komited memperkukuh bidang sains gunaan dan teknologi marin melalui pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman sebenar, selaras dengan matlamat universiti untuk melahirkan graduan berdaya saing, berpengetahuan tinggi dan bersedia menghadapi cabaran industri global. – MAlaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast