Banjir di Kampung Cegar, Tasek Gelugor cecah paras pinggang.

TASEK GELUGOR – Hujan lebat berterusan sejak kelmarin menyebabkan penduduk Kampung Cegar, di sini, berdepan banjir buat kali kedua tahun ini.

Mangsa banjir, Ramli Mohamad, 50, berkata, ibunya sudah berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS), namun bapanya enggan meninggalkan rumah walaupun air mencecah paras pinggang.

“Ibu telah berpindah ke PPS, tetapi ayah berusia 77 tahun mahu kekal di rumah walaupun banjir pada paras pinggang sehingga saya perlu sentiasa melawatnya di rumah untuk memastikan dia sentiasa selamat,” katanya ketika ditemui hari ini.

Ramli.

Seorang lagi penduduk, Siti Malina Jasni, 30, berkata, dia bersama suami dan anak berusia empat tahun terpaksa berpindah ke PPS selepas kediaman mereka dinaiki air hingga paras paha sejak awal pagi Jumaat.

“Rumah kami sudah dua hari digenangi air dan sekejap air surut hingga paras lutut sebelum naik semula selepas hujan berterusan,” katanya.

Sementara itu, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Pulau Pinang dalam kenyataan berkata, seramai 1,041 mangsa yang terjejas banjir di tiga daerah di negeri ini ditempatkan di tujuh PPS ekoran hujan yang melanda negeri ini sejak kelmarin.

“Kesemua mangsa itu membabitkan 287 keluarga melibatkan daerah Seberang Perai Utara (SPU), Seberang Perai Tengah (SPT) dan Barat Daya setakat petang ini.

“Sebanyak 791 mangsa daripada 218 keluarga berada di empat buah PPS di SPU, 220 mangsa daripada 60 keluarga berada di dua buah PPS di SPT dan 31 mangsa daripada sembilan keluarga di sebuah PPS di Barat Daya,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast