Gambar hiasan

HARAPAN rakyat Palestin untuk menikmati keamanan selepas pengumuman gencatan senjata yang rapuh pada 10 Oktober lalu kini semakin pudar, apabila pertempuran baharu tercetus antara tentera Israel dan kumpulan bersenjata Palestin di Rafah, selatan Semenanjung Gaza.

Suasana yang pada mulanya diwarnai sedikit kelegaan bertukar kembali menjadi tegang apabila letupan dan serangan udara kedengaran hampir setiap malam, sekali gus menimbulkan ketakutan baharu dalam kalangan penduduk yang sudah pun kehilangan tempat tinggal.

Menurut laporan terkini, lebih 60,000 rakyat Palestin dan 1,700 rakyat Israel telah terbunuh sejak permulaan pencerobohan Israel ke atas Gaza yang sudah berlarutan selama 20 bulan, berdasarkan angka rasmi daripada pihak berkuasa Israel dan Palestin yang disiarkan oleh Statista pada awal Ogos 2025.

Daripada jumlah itu, sekitar 1,200 kematian rakyat Israel berlaku semasa serangan mengejut oleh Hamas pada 7 Oktober 2023.

Bagaimanapun, angka sebenar dipercayai jauh lebih tinggi. Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menegaskan bahawa jumlah korban di Gaza mungkin sangat kurang dilaporkan kerana masih ramai yang hilang di bawah runtuhan bangunan, manakala ribuan lagi maut akibat penyakit, kekurangan makanan dan gangguan perkhidmatan kesihatan serta kematian yang tidak direkodkan secara rasmi.

Kemusnahan di Gaza kini digambarkan sebagai antara bencana kemanusiaan paling dahsyat ciptaan manusia di kawasan paling padat penduduk di dunia.

Lebih 90 peratus daripada populasi Gaza telah dipindahkan sekurang-kurangnya sekali dan hampir suku daripada mereka kini berada pada tahap risiko kebuluran.

Infrastruktur awam pula musnah teruk dan lebih 70 peratus struktur di Gaza termasuk 92 peratus perumahan telah hancur atau rosak teruk.

Lebih separuh hospital dan kemudahan kesihatan ditutup manakala yang masih beroperasi hanya berfungsi sebahagian kerana kekurangan bahan api, ubat-ubatan, dan kakitangan perubatan.

Tentera Israel (IDF) melancarkan serangan darat ke Gaza dengan matlamat menewaskan Hamas serta membebaskan 251 tebusan yang ditawan pada 7 Oktober.

Menurut laporan, sekitar 425 askar Israel telah terbunuh sejak operasi bermula dan Israel mendakwa telah membunuh lebih 20,000 pejuang Hamas. Sehingga pertengahan Jun 2025, 50 orang tebusan masih berada di Gaza, namun hanya 23 daripadanya disahkan masih hidup.

Konflik ini turut merebak ke Tebing Barat, di mana peningkatan keganasan sejak Oktober 2023 telah meragut lebih 1,000 nyawa rakyat Palestin kebanyakannya akibat keganasan penjajah Israel yang meningkat mendadak sepanjang tempoh perang.

Pada awal tahun 2025, kedua-dua pihak mencapai gencatan senjata dua bulan di bawah perjanjian yang melibatkan pembebasan berperingkat baki tebusan Israel sebagai pertukaran kepada ribuan tahanan Palestin, peningkatan penghantaran bantuan serta rundingan lanjut ke arah gencatan kekal.

Namun, perjanjian itu hanya sempat melalui fasa pertama sebelum Israel menyambung semula pencerobohan pada 18 Mac 2025.

Dalam perkembangan lain, Israel telah mengharamkan operasi UNRWA,  agensi bantuan utama PBB di Palestin pada Januari 2025 dengan menuduhnya berpihak kepada Hamas.

Agensi itu digantikan oleh Gaza Humanitarian Foundation (GHF) yang disokong Israel dan Amerika Syarikat, tetapi ia turut dikecam hebat selepas lebih 500 penduduk Gaza terbunuh ketika cuba mendapatkan bantuan di pusat edaran GHF pada Mei dan Jun.

Walaupun bantuan kemanusiaan mula disalurkan melalui sempadan Rafah dan Kerem Shalom, organisasi antarabangsa memberi amaran bahawa bekalan makanan, air dan ubat-ubatan masih jauh daripada mencukupi. Rakyat Gaza kini hidup dalam keadaan yang digambarkan oleh PBB sebagai “tidak lagi sesuai untuk kehidupan manusia.”

Usaha diplomatik oleh Mesir, Qatar dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) masih berterusan namun belum menunjukkan hasil yang signifikan. Rundingan untuk melanjutkan gencatan senjata berulang kali menemui jalan buntu bahkan setiap percubaan damai sering berakhir dengan serangan baharu.

Bagi penduduk Gaza yang kini berjuang untuk terus hidup, keamanan masih terasa amat jauh dari genggaman, hanya sekadar impian yang terus pudar di tengah-tengah runtuhan bangunan dan langit yang terus disinari cahaya letupan.

——————

Dr. Muhammad Afifi Abdul Hamid

Muhamad Safwan Mohd A’Seri

General Studies Department, Sunway College

Co-Author: [email protected]

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast