Tahun 2025 semakin menghampiri penghujungnya. Negara seluruh dunia mempersiapkan dengan rapi rangka hala tuju masing-masing untuk memasuki tahun baharu, 2026. Namun persiapan untuk melangkah ke arah itu sudah pasti melibatkan pelbagai sektor termasuk keselamatan dan memerangi bahaya.
Negara ini tidak terkecuali. Pelbagai ancaman yang boleh dilihat mengganggu gugat kestabilan dan kemakmuran menjadi agenda penting kepimpinan negara dalam melangkah ke tahun baharu. Ia tidak dapat harus ditangani dengan cermat dan berkesan. Termasuklah ancaman dadah.
Malaysia kini berdepan ancaman dadah dalam dua bentuk yang sama berat dan membimbangkan melibatkan penyeludupan dadah lintas sempadan yang semakin canggih, serta peningkatan mendadak kes penagihan dalam kalangan remaja dan kanak-kanak seawal sekolah rendah. Kedua-dua isu ini bukan sahaja menguji kemampuan penguatkuasaan negara, malah memerlukan pendekatan menyeluruh di peringkat ASEAN dan komuniti dalam negara.
Menurut Timbalan Perdana Menteri merangkap Pengerusi Jawatankuasa Kabinet Membanteras Gejala Dadah (JKMD), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam laporan Bernama baru-baru ini, jenayah penyeludupan dadah kini beroperasi dalam bentuk rangkaian transnasional yang sangat terancang.
Sindiket menggunakan laluan darat, laut dan udara, termasuk lorong sempit, pelabuhan kecil, serta kawasan tanah tinggi untuk mengelak penguatkuasaan. Zon seperti ‘Segi Tiga Emas’ yang melibatkan Myanmar, Laos dan Thailand serta laluan selatan Filipina dikenal pasti sebagai titik panas penghantaran methamphetamine dan heroin.
Sehubungan itu, beliau menggesa agar ASEAN memperkukuh mekanisme kerjasama serantau. Malaysia mencadangkan operasi bersama melalui ASEAN Airport Interdiction Task Force dan ASEAN Seaport Interdiction Task Force, bagi mengekang penyeludupan di pintu keluar masuk udara dan laut.
Tambahan pula, platform perkongsian data seperti ASEAN Narcotics Cooperation Centre (ANCC) dan ASEAN Drug Monitoring Network (ADMN) perlu diperkasa supaya maklumat risikan dapat disalurkan secara masa nyata antara negara jiran. Rondaan tiga hala antara Malaysia, Filipina dan Indonesia di Laut Sulu serta kerjasama di Selat Melaka, Selat Singapura dan Laut Andaman turut menjadi keutamaan bagi mengekang pergerakan kapal kecil yang membawa dadah dalam jumlah besar.
Namun, di sebalik usaha membanteras penyeludupan, negara kini turut berdepan realiti lebih memilukan di mana penagihan dadah dalam kalangan kanak-kanak turut menjadi perkara sangat serius. Berdasarkan laporan Sinar Harian 25 September baru-baru ini, Ahmad Zahid mendedahkan bahawa kes penagih dalam kalangan bawah umur semakin meningkat dan ada yang bermula seawal sekolah rendah.
Lebih membimbangkan, terdapat sindiket menggunakan taktik halus seperti gula-gula, minuman segera, atau produk menyerupai barangan e-dagang untuk mengaburi mata guru dan ibu bapa. Kanak-kanak di kawasan pinggir bandar dan luar bandar menjadi sasaran mudah kerana kelemahan kawalan sosial dan pengaruh rakan sebaya.
Statistik Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) pula menunjukkan peningkatan penagihan sebanyak lebih 30 peratus pada tahun 2024 berbanding tahun sebelumnya. Negeri seperti Kelantan, Terengganu, Perlis dan Kedah mencatat kadar tertinggi, dengan sebahagian besar melibatkan remaja dan belia.
Ahmad Zahid turut menjelaskan bahawa perbincangan bersama Kementerian Pendidikan, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan institusi prasekolah telah digerakkan untuk memperketat pemantauan serta pendidikan awal antidadah di peringkat sekolah. Katanya, jika ancaman ini tidak dibendung segera, negara bakal berdepan generasi rosak sebelum sempat terbentuk.
Menghubungkan dua dimensi ini iaitu penyeludupan antarabangsa dan penagihan domestik, jelas bahawa masalah dadah tidak boleh ditangani secara terasing. Selagi laluan penyeludupan tidak dikawal secara bersepadu, selagi itulah bekalan akan terus masuk tanpa henti.
Dalam masa yang sama, jika pertahanan sosial seperti keluarga, sekolah dan komuniti tidak diperkukuh, permintaan dadah pula akan terus wujud dalam kalangan masyarakat, termasuk kanak-kanak.
Menyedari hakikat ini, kerajaan turut menekankan pendekatan pemulihan dan reintegrasi. Laporan Bernama menjelaskan bahawa Malaysia kini menilai semula strategi dadah kebangsaan melalui Pelan Tindakan Dadah 2026–2030, dengan tumpuan kepada data, teknologi, pendidikan komuniti serta program pemulihan yang menyeluruh.
Berdasarkan laporan berkenaan juga menunjukkan kajian Universiti Teknologi Malaysia menunjukkan Indeks Antidadah Nasional kini berada pada paras 68.3 peratus satu petunjuk pertengahan yang memerlukan penambahbaikan serius jika aspirasi negara bebas dadah ingin dicapai.
Selain itu, aspek kebolehkerjaan bekas penagih turut diberi penekanan bagi mengelakkan kitaran ketagihan berulang. Kerjasama dengan sektor industri dan institusi latihan kemahiran turut dirintis agar bekas penagih mempunyai peluang hidup baharu. Menurut Ahmad Zahid, pengupayaan belia dan komuniti merupakan benteng terakhir yang menentukan kejayaan atau kegagalan perang melawan dadah.
Kesimpulannya, Malaysia kini berada di persimpangan penting. Perang terhadap dadah bukan sekadar isu penguatkuasaan, tetapi pertarungan membabitkan masa depan generasi muda dan keselamatan rantau. Keupayaan negara untuk memutuskan rantaian bekalan dari luar dan menghalang permintaan dalam negara akan menentukan nasib ribuan keluarga serta kestabilan sosial pada masa hadapan.
Dadah bukan lagi ancaman tersembunyi ia kini berada di pintu sempadan, sekolah dan rumah. Tindakan bersepadu, pantas dan tegas diperlukan sebelum segalanya terlambat. Maka, sudah pasti ia akan menjadi agenda penting kepimpinan negara termasuk beliau selaku Timbalan Perdana Menteri.
Oleh Sofian Resali
Penulis buku politik dan agama















